NEW YORK: Dua individu maut manakala lapan lagi kritikal akibat satu insiden tembakan di Universiti Brown.
Datuk Bandar Providence, Brett Smiley mengesahkan kejadian itu dalam satu sidang media dan memaklumkan dua mangsa berkenaan maut di lokasi kejadian.
Katanya, seramai lapan mangsa lain menerima rawatan rapi akibat kecederaan parah dalam serangan tersebut.
Pihak berkuasa memaklumkan suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan itu masih bebas dan polis giat melakukan pencarian.
Insiden berkenaan mencetuskan suasana panik di kampus universiti berkenaan apabila pasukan keselamatan segera dikerahkan bagi mengawal keadaan.
Presiden Donald Trump memaklumkan beliau sudah menerima taklimat mengenai kejadian itu menerusi platform Truth Social miliknya.
Menurut Trump, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan, selain menzahirkan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka.
Pasukan penguat kuasa undang-undang serta petugas kecemasan memenuhi kawasan universiti, dengan media tempatan melaporkan terdapat pakaian dan kesan darah di atas kaki lima berhampiran lokasi serangan.
Universiti Brown yang terletak di Providence, Rhode Island berhampiran Boston merupakan sebuah institusi berprestij dengan kira-kira 11,000 pelajar.










