PETALING JAYA: Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan sebarang tuntutan tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), wajar disokong semua pihak.
Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kenyataan itu menunjukkan komitmen terhadap keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, khususnya apabila menyentuh tuntutan yang menekan kerajaan supaya mengiktiraf UEC di bawah dasar pendidikan negara.
“Tuntutan pengiktirafan UEC bercanggah dengan keluhuran Perlembagaan serta polisi perpaduan masyarakat.
“Apabila Perdana Menteri menyatakan secara terbuka bahawa beliau tidak boleh menerima tuntutan mana-mana pihak sekiranya bercanggah dengan Perlembagaan, ia adalah pendekatan yang betul dan sah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mohamed Haniff Khatri berkata, menjadi kewajipan semua rakyat menyokong keputusan yang dibuat berlandaskan Perlembagaan tanpa mengambil kira kepentingan politik.
“Saya tidak mengambil pihak politik, sebaliknya berpihak kepada keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Pegangan Perdana Menteri untuk menolak tuntutan pengiktirafan UEC atas dasar kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah tepat dan wajar disokong rakyat,” katanya.
Mengulas hujah segelintir pemimpin muda DAP yang membandingkan UEC dengan pengiktirafan GCE O-Level dan A-Level, katanya, perbandingan itu tidak tepat.
“O-Level dan A-Level berasal dari England, sebuah negara yang bahasa rasmi dan kebangsaannya ialah bahasa Inggeris. UEC pula dituntut oleh sekolah swasta di Malaysia yang menggunakan bahasa selain Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“UEC perlu terlebih dahulu mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sebelum boleh dinilai atau dipertimbangkan untuk pengiktirafan. Kita perlu bandingkan perkara yang setara, bukan menyamakan situasi yang jelas berbeza,” katanya. – UTUSAN










