KULAI: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut, manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori berhampiran Plaza Tol Skudai, Lebuhraya Utara Selatan, hari ini.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Amirul Asyraf Mohd. Nasir, merupakan kelindan salah sebuah lori yang terlibat nahas terbabit.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan Fauzi Che Deris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.38 pagi.
Sehubungan itu, seramai 17 anggota berserta empat buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan tersebut membabitkan dua buah lori iaitu sebuah lori tiga tan dan sebuah lori jenama Hino. Kemalangan itu turut melibatkan empat orang mangsa.
“Mangsa masing-masing adalah pemandu dan kelindan kedua-dua buah lori di mana kesemua mereka berada dalam keadaan tersepit akibat kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Fauzi, mangsa yang maut diserahkan kepada polis manakala tiga yang lain dibawa ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan sebelum operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 10.46 pagi. – UTUSAN










