KUANTAN: Pahang wajar menerima pampasan lebih RM150 juta setahun terhadap komitmen mengekalkan lebih 57 peratus hutan simpan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kerajaan negeri menyambut baik keputusan Kerajaan Pusat yang bersetuju memberikan pampasan kepada Pahang serta negeri-negeri lain atas komitmen mengekalkan hutan simpan setelah cadangan itu dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam program di Bera, semalam.
“Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan berhubung persetujuan tersebut, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini memaklumkan Kedah wajar menerima sekurang-kurangnya RM100 juta setahun sebagai pampasan terhadap komitmen mengekalkan hutan simpan.
“Luas keseluruhan kawasan hutan di Kedah ialah 344,865 hektar meliputi 36.4 peratus daripada keseluruhan negeri itu. Di Semenanjung, Pahang adalah negeri tertinggi yang mengekalkan hutan simpan iaitu lebih 57 peratus.
“Jika Kedah yang mana kawasan hutan simpannya berjumlah 36.4 peratus menuntut pampasan RM100 juta setahun, maka Pahang yang mana kawasan hutan simpannya lebih besar dari Kedah dan tertinggi di Semenanjung, layak menerima lebih RM150 juta setahun.
“Pengekalan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air itu cukup penting sekali gus Pahang dapat menyalurkan bekalan air mentah dari Pahang bagi menampung keperluan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Ismail Sabri dilaporkan sebagai berkata, kerajaan Pusat akan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan yang dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan tidak membebankan kerajaan Pusat.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, berdasarkan komitmen negeri ini, maka pampasan yang bakal diterima Pahang kelak seharusnya selari dengan pengorbanan dibuat bukan sahaja untuk negeri ini malah seluruh negara.
“Namun, kerajaan negeri menyerahkan kepada Kerajaan Pusat untuk mencari formula terbaik dalam menentukan jumlah pampasan yang wajar kepada setiap negeri yang mengekalkan kawasan hutan simpan,” katanya – UTUSAN ONLINE










