Kejayaan 'adik' satu cabaran buat 'abang' - Utusan Malaysia

Kejayaan ‘adik’ satu cabaran buat ‘abang’

TAN CHENG HOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kini semua ‘mata’ bakal terarah kepada pasukan Harimau Malaya selepas menyaksikan skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara mara ke Piala Asia B-23 di 2022 Uzbekistan tahun depan.

Harapan untuk melihat skuad ‘abang’ mengikuti jejak langkah ‘adik’ layak ke Piala Asia semestinya paling dinantikan oleh para penyokong bola sepak negara selepas kali terakhir Harimau Malaya layak secara merit pada 1980 di Kuwait.

Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keinginan pemain-pemain yang menggalas tanggungjawab itu nanti dan semestinya pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe mahu menyenaraikan barisan pemain terbaik serta mencatur strategi ampuh dalam mencapai misi berkenaan.

Ketika ditanya sama ada kejayaan itu bakal memberi tekanan kepada skuad negara, Cheng Hoe tidak merasakan ia sebagai satu tekanan tetapi lebih kepada satu cabaran dan juga motivasi buat anak buahnya.

Turut berasa gembira dengan kejayaan yang dicapai oleh pasukan B-22 negara, bekas jurulatih Kedah itu mengakui sebarang perancangan dalam mempersiapkan pasukan bergantung kepada keputusan undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung Februari tahun depan.

SKUAD B-22 negara yang dibimbing Brad Maloney layak bertanding di Piala Asia B-23 di Uzbekistan, tahun depan.- IHSAN FAM

“Ia tekanan yang berbeza, setiap kali kita bermain di mana-mana kejohanan pasti ada tekanan dan pencapaian mereka merupakan satu kejayaan buat pasukan B-22.

“Kita sebagai skuad ‘senior’ juga mahu meraih pencapaian terbaik dan saya rasa bukan satu tekanan. Boleh katakan ia satu motivasi dan kita perlu lihat pencapaian B-22 sebagai medan terbaik buat pemain-pemain muda yang mula mengetuk ‘pintu’ skuad senior.

“Undian memainkan peranan penting, selain mengharapkan sedikit tuah untuk berada dalam satu kumpulan dengan pasukan-pasukan yang setara dengan pasukan negara. Sudah tentu selepas undian baru kita boleh membuat perancangan dan mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan lawan yang bakal dihadapi nanti.

“Tetapi saya rasa paling penting persiapan dan persediaan rapi pasukan itu sangat penting. Kita sudah ada pengalaman lalu, 18 bulan tidak bermain bersama dan itu mengganggu rentak pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Ahad lalu, skuad bimbingan Brad Maloney layak ke Piala Asia B-23 2022 Uzbekistan selepas muncul juara Kumpulan J dalam kempen kelayakan di Ulaanbaatar, Mongolia.

HARIMAU Malaya, yang dikendalikan Tan Cheng Hoe pula, bakal beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 secara berpusat di China pada Jun tahun depan.- IHSAN FAM

Sehingga hari ini, sudah 41 tahun Malaysia tidak beraksi di peringkat benua, dengan kali terakhir mereka layak ke Piala Asia secara merit pada 1980 yang berlangsung di Kuwait.

Begitupun, skuad kebangsaan pernah beraksi di Piala Asia 2007, apabila empat negara di Asia Tenggara menjadi tuan rumah iaitu melibatkan Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Ketika ditanya mengenai beberapa pemain B-22 yang dilihat berpotensi untuk dipanggil bersama pasukan kebangsaan bagi memperkuatkan cabaran Piala AFF yang akan berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari, Cheng Hoe mengakui ada beberapa pemain telah memikat hatinya selain empat pemain yang telah dipanggil sebelum ini.

Sebelum ini, Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Quentin Cheng dan Hakimi Abdullah berjaya mempamer aksi ‘memuaskan’ ketika bersama Harimau Malaya pada dua aksi persahabatan di Jordan awal bulan lalu.

“Ada beberapa pemain yang berpontensi untuk kita panggil bersama pasukan selain Luqman, Mukhairi, Quentin yang dipanggil sebelum ini. Nik Akif (Syahiran) pernah bersama skuad negara pada 2018, Azri Ghani dan Harith Haikal (Adam Afkar) bermain dengan cukup baik,” ujarnya.

Dengan prestasi cukup cemerlang ditunjukkan skuad muda negara, secara tidak langsung perebutan tempat dalam skuad Harimau Malaya akan lebih sengit untuk semua pemain tidak kira ‘senior’ atau ‘junior’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya