SUNGAI PETANI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerusi agensinya, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) membelanjakan sebanyak RM2.5 juta bagi projek ameniti sosial di seluruh negeri ini.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan tersebut lebih tinggi berbanding hanya RM1.5 juta pada tahun lalu.
Menurutnya, peruntukan tersebut disalurkan untuk 77 kategori kerja dan sebanyak 67 kategori kerja telah siap manakala selebihnya sedang dalam pelaksanaan.
“Antara projek ameniti sosial itu termasuk menaik taraf dan baik pulih longkang, baik pulih dewan serbaguna dan surau serta menurap ruang parkir dewan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Desa KEDA, Bukit Tukang Jusoh di sini hari ini.
Terdahulu beliau turut mengadakan lawatan di Kampung Keda Che Bema Sungai Jagung dan meninjau di Arked Tanjung Dawai.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya melalui KEDA akan membangunkan lagi kawasan Tanjung Dawai dalam usaha membandarkan kawasan desa dan kampung.
Katanya, terdapat pelbagai aktiviti di Tanjung Dawai iaitu perikanan, perniagaan dan kawasan tarikan pelancongan.
“Justeru, kawasan ini mempunyai potensi yang baik untuk dibangunkan lagi,” katanya.










