‘Kayak berdiri’ pertama jadi tarikan baharu di Perlis

‘Kayak berdiri’ pertama jadi tarikan baharu di Perlis

INISIATIF seorang anak muda memperkenalkan aktiviti ‘kayak berdiri’ yang mendapat sambutan hebat di Tasik Timah Tasoh, Perlis. – FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Minat mendalam terhadap sukan rekreasi air mendorong seorang anak muda mengambil inisiatif memperkenalkan aktiviti tersebut di Tasik Timah Tasoh di sini, sekali gus menjadi tarikan baharu di negeri ini.

Menariknya, aktiviti ‘kayak berdiri’ atau stand up paddle yang diusahakan Anuar Hamizan Mat Alim, 25, sejak setahun lalu itu merupakan yang pertama di Perlis dan berjaya menarik perhatian pengunjung yang ti­dak perlu lagi menempuh perjalanan sehingga ke Langkawi, Kedah untuk merasai pengalaman aktiviti berkenaan.

Anuar Hamizan yang dibantu tiga sahabatnya, Zaki Zainol, 25; Hafiz Nordin, 23, dan Akif Azhar, 25, mengusahakan aktiviti ber­kenaan berkata, dia menerima antara 70 sehingga 80 pelanggan khususnya pada cuti hujung minggu.

Katanya, berbanding di lokasi popular lain, mereka hanya mengenakan bayaran serendah RM30 bagi satu jam untuk aktiviti ‘kayak berdiri’, manakala kayak pula serendah RM10.

Jelasnya yang juga seorang pelakon, ‘kayak berdiri’ itu sesuai untuk semua golongan meskipun bagi mereka yang tidak biasa de­ngan aktiviti berkenaan.

“Kita akan memberi penera­ngan dan membimbing pengunjung semasa aktiviti tersebut kerana apa yang penting ia memerlukan keseimbangan badan ketika berdiri di atas papan pendayung itu.

“Main kayak secara berdiri ini memberi kepuasan tersendiri kerana ia mampu menguji ke­simbangan badan, keyakinan diri selain menikmati keindahan Tasik Timah Tasoh ini.

“Lazimnya, aktiviti kayak secara berdiri ini sinonim di Tasik Dayang Bunting, Tanjung Rhu di Langkawi dan kini sudah ada di Perlis. Kita juga menerima sam­butan cukup hebat bukan sahaja dalam kalangan penduduk negeri ini malah dari pelancong luar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Anuar Hamizan yang pernah membintangi drama popular antaranya Ayahanda dan Rindu Terlarang itu, dia mengeluarkan modal sekitar RM20,000 sehingga RM30,000 bagi mengusahakan aktiviti tersebut sebelum ini dengan peringkat awal mereka menyediakan enam papan dayung.

“Insya-Allah selepas ini, saya bercadang melakukan proses penambahbaikan selain menambah lagi papan pendayung bagi menampung pengunjung yang bertambah ramai saban hari.

“Siapa sangka daripada sekadar hobi sebelum ini yang akhir­nya mendorong saya mengusahakan aktiviti tersebut yang mampu menjana pendapatan yang baik,” katanya.

Aktiviti ‘kayak berdiri’ itu dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 10 pagi sehingga 6.30 petang manakala hujung minggu pula dibuka lebih awal pada pukul 8 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya