Kapasiti bilik hotel hanya 80 peratus - Utusan Malaysia

Kapasiti bilik hotel hanya 80 peratus

K. RAJ KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kebanyakan hotel di Pulau Pinang ketika ini hanya mampu menawarkan antara 70 hingga 80 peratus daripada kapasiti bilik kepada pengunjung berikutan kekurangan pekerja.

Tindakan mengehadkan jumlah bilik itu terpaksa diambil majoriti pengusaha hotel berkenaan kerana tidak mahu menimbulkan sebarang kesulitan kepada pelanggan mereka, lebih-lebih lagi semasa waktu puncak hujung minggu dan cuti umum.

Malah, situasi itu dijangka berterusan lama meskipun kebanyakan hotel khususnya di pusat peranginan popular seperti di pusat bandar dan Batu Ferringhi sudah penuh di empah hingga awal tahun depan.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan beberapa buah hotel di negeri ini mereka terpaksa mengambil langkah mengurangkan kapasiti tempahan bilik bagi memastikan tidak berlaku masalah kepada pelanggan.

“Ada hotel maklumkan mereka tidak buka tempahan penuh untuk bilik hotel masing-masing kerana kekurangan pekerja.

“Sebagai contoh daripada 150 bilik yang mereka ada, hanya 100 buah bilik yang mereka buka untuk tempahan pada masa ini. Inilah usaha yang mereka ambil untuk pastikan keselesaan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Isnin lalu, laporan muka depan akhar ini menyiarkan masalah kekurangan pekerja yang ritikal dalam industri perhotelan tempatan sehingga menjejaskan operasi sejak sektor itu dibuka semula kepada orang ramai pada 11 Oktober lalu.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan situasi itu berterusan sehingga suku pertama tahun depan memandangkan kesukaran mendapatkan tenaga kerja bagi bahagian pembersihan.

“Keadaan ini akan pulih, namun mengambil sedikit masa memandangkan pihak hotel perlu melatih pekerja baharu dalam bahagian pembersihan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kapasiti bagi ruang makan di hotel juga tidak dibuka penuh memandangkan pihak hotel perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pihak hotel tidak mahu ada masalah pelanggan beratur panjang untuk mendapatkan makanan di ‘coffee house’, jadi mereka maklumkan lebih awal kepada pelanggan kapasiti pelanggan hanya 50 peratus di situ.

“Kita harap pelanggan dapat memahami kekangan yang dihadapi oleh pihak hotel pada masa ini dan bersabar ketika mendapatkan perkhidmatan hotel,” katanya.

Dalam pada itu, Raj Kumar berkata, pihaknya juga telah menyarankan pengurusan hotel supaya memperkenal pakej-pakej penginapan seperti pakej tiga hari dua malam kepada para pelanggan untuk menginap di hotel masing-masing.

“Kalau ramai pelanggan hanya menginap sehari dan kemudian mereka daftar keluar, ia akan menggunakan banyak tenaga kakitangan di bahagian pembersihan, jadi lebih baik jika pelanggan menginap mengikut pakej,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN