Kad laporan 100 hari menghasilkan 3 teras - Utusan Malaysia

Kad laporan 100 hari menghasilkan 3 teras

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri sudah melaporkan ‘Kad Laporan 100 hari’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu bagi membentangkan teras sebagai pencapaian kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, teras tersebut terbahagi kepada tiga bahagian yang difokuskan bagi mencapai matlamat, antaranya Pasukan Gerakan Am (PGA), Sistem Pengesahan Data Integrasi Kematian (SPDIM) dan E-Visa.

Menurutnya, PGA bakal bertindak seperti polis dan bukan hanya menjaga sempadan supaya memudahkan masyarakat melaporkan kes-kes sebelum diutarakan kepada ibu pejabat polis tertentu.

“SPDIM pula memudahkan masyarakat mendaftarkan kematian. Sebelum ini mereka perlu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jadi ia agak menyulitkan tetapi dengan SPDIM mereka boleh melakukan pendaftaran secara dalam talian dan hanya pergi ke JPN untuk mengambil sijil mati.

“Melalui E-Visa, ia akan memudahkan pelancong mendapatkan visa, dengan penambahan 35 buah negara, memberi ruang kepada mereka untuk datang ke negara kita supaya dapat kita bangunkan sektor pelancongan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perjumpaan Menteri Dalam Negeri bersama industri perkhidmatan kawalan keselamatan dan agensi persendirian 2021 di sini hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Ketua Polis Negara memberi jaminan bahawa isu kartel Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjatuhkan beliau berada dalam keadaan terkawal dan dapat ditangani.

Hamzah turut memaklumkan bahawa siasatan PDRM mendapati tidak wujud sebarang kartel dalam badan penguatkuasaan tersebut ketika sesi perbincangan berlangsung di dalam Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai perkara tersebut, bagi memuaskan hatinya dan pelbagai pihak,  Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan sudah mengambil alih siasatan dengan memanggil beberapa individu mengenai isu kartel tersebut.

“Saya tidak berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan oleh PDRM, jadi bagi menghilangkan syak wasangka saya mengarahkan suruhanjaya itu untuk mengambil alih siasatan tersebut.

“Suruhanjaya tersebut akan membuat keputusan dan memaklumkan kepada saya sebaik sahaja siasatan itu selesai,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN