Kanak-kanak tiga tahun derita kanser buah pinggang - Utusan Malaysia

Kanak-kanak tiga tahun derita kanser buah pinggang

LOKMAN Nol Hakim Abd. Hamid meriba Ammar Zaffran yang menghidap penyakit kanser buah pinggang ketika ditemui bersama isterinya, Zuhaila Ahmad di rumah mereka di Kampung Sungai Buntu, Penerok, Pontian, Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Perumpamaan itu sesuai menggambarkan penderitaan Ammar Zaffran Lokman Nol Hakim yang menghidapi penyakit kanser buah pinggang pada usia baru dua tahun enam bulan.

Tidak seperti kanak-kanak lain yang riang bermain, Ammar Zaffran hanya mempunyai satu buah pinggang setelah menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 25 Oktober lalu.

Bapa kanak-kanak itu, Lokman Nol Hakim Abd. Hamid, 39, berkata, anaknya akan membuat tapak rawatan kemoterapi di HSI bagi memasukkan ubat di bahagian kanan dadanya.

Katanya, dia kini bingung menyediakan perbelanjaan kira-kira RM300 seminggu untuk urusan rawatan dan pengangkutan ke HSI kerana sudah lama tidak turun ke laut bagi memberi perhatian kepada Ammar Zaffran.

“Setelah mengetahui Ammar Zaffran menghidap kanser buah pinggang, saya tidak lagi turun ke laut mahupun menjalankan kerja-kerja mengecat kereta yang dijadikan sebagai pendapatan tambahan.

“Penyakit Ammar bermula dengan demam panas terlalu tinggi dan dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang melakukan imbasan bagi mengetahui punca penyakit yang dialami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Sungai Buntu, Penerok, semalam.

Tambah Lokman Nol Hakim, Ammar Zaffran merupakan anak ke tujuh daripada lapan beradik, malah anak bongsunya yang baru lahir dan kini berusia dua bulan juga memerlukan perbelanjaan seperti susu dan lampin pakai buang.

“Isteri saya, Zuhaila Ahmad, 39, yang bertugas sebagai juruwang di Kukup Golf Resort (KGR) telah banyak membantu meringankan beban keluarga kami meskipun kini dia sedang cuti bersalin termasuk menampung perbelanjaan lima anak yang masih bersekolah,” katanya.

Katanya, sebelum pembedahan buah pinggang Ammar Zaffran dilakukan, perutnya membesar dan selepas selesai proses itu, anaknya cepat letih dan penat serta tidak aktif seperti biasa selain kurang selera makan.

Sementara itu, Zuhaila berkata, dia dan suami berharap penyakit yang dihidapi oleh anak mereka itu mendapat rawatan secukupnya walaupun tiada sumber kewangan mencukupi bagi membiayai segala perbelanjaan.

Apatah lagi, setakat ini Ammar Zaffran belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak melainkan dalam proses untuk memohon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitumal.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun Bank Islam 01108020210132 atas nama Zuhaila atau menghubunginya di talian 017-3483804 dan Lokman Nol Hakim (017-7015404). -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN