PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil individu yang didakwa terlibat dengan program ‘Interfaith Water Ceremony’ yang tular di media sosial.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya mengambil perhatian mengenai penularan isu berkaitan dakwaan penglibatan individu beragama Islam dalam program tersebut.
Katanya, penularan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat namun ia menegaskan bahawa individu terbabit bukan pegawainya seperti didakwa.
“Walau bagaimanapun, Jakim akan memanggil individu berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah mengeluarkan kenyataan media rasmi pada 18 Disember bagi menjelaskan isu dakwaan penyertaan pegawainya dalam program tersebut.
Katanya, kenyataan berkenaan memperincikan latar belakang penganjuran program, tujuan sebenar kehadiran pegawai agama Islam negeri, serta konteks rakaman yang tular di media sosial.
“Bagi memastikan penelitian yang adil dan menyeluruh, Jakim telah mengadakan pertemuan dengan Ahmad Iqram Mohamad Noor bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung isu yang dibangkitkan.
“Perkara ini sedang diteliti secara serius oleh Jakim,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Jakim bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa agama negeri serta agensi berkaitan, bagi memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh, berlandaskan perundangan sedia ada.
“Jakim sentiasa komited memelihara kesucian akidah umat Islam. Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, dipohon membuat laporan rasmi kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri,” katanya. – UTUSAN










