PEKAN: Sebuah bot gentian kaca tanpa pemilik ditemukan di tengah muara sungai Kuala Pahang, dekat sini, lewat petang semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, susulan penemuan bot tersebut, seorang nelayan dilaporkan hilang dan dikhuatiri terjatuh ke muara sungai.
Katanya, Mohd. Rashid Nawang, 42, dari Kampung Marhum, di sini keluar menangkap ikan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
“Kira-kira pukul 2 petang, beberapa nelayan lain menemukan bot gentian kaca milik mangsa yang hanyut di tengah muara sungai Kuala Pahang namun dia tiada di dalam bot berkenaan.
“Mangsa disyaki terjatuh dan usaha nelayan terbabit mencari mangsa di sekitar muara itu juga gagal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, bot mangsa dijumpai di kawasan muara berdekatan rumah api dan benteng pemecah ombak kira-kira 500 meter daripada jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Hasil pemerhatian juga mendapati ketika kejadian keadaan sungai dan muara berombak kuat.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bermula pukul 7.30 pagi ini membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, kehilangan mangsa telah dimaklumkan kepada isteri dan keluarganya.
“Mangsa mempunyai lima orang anak berusia lima tahun hingga 18 tahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE