ALOR SETAR: Hasrat MIC Kedah untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) hanya boleh ditentukan di peringkat Pusat.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pas dan PN Kedah tidak ada masalah untuk mengikuti segala keputusan di peringkat Pusat.
“Kita tak bergaduh dengan sesiapa, kita baik sahaja dengan semua orang. Kalau nak berkawan, kita boleh berkawan dengan sesiapa pun. Tapi kalau soal kerjasama rasmi antara parti, ia mesti melalui saluran PN pusat,” katanya selepas Mesyuarat Dewan Undangan Negeri ke-15, semalam.
Sebelum ini, Ketua Perhubungan MIC Kedah, S. K Suresh mengumumkan parti itu meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN serta tidak menolak kemungkinan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, beliau melihat kerjasama dengan Pas atau PN sebagai satu pilihan strategik memandangkan terdapat banyak masalah yang didakwa dihadapi masyarakat India di Kedah dan perlu segera ditangani.
Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, pertemuan tidak rasmi antara pemimpin MIC dengan beberapa rakan politik di negeri ini memang ada berlaku, namun ia hanya pertemuan biasa.
“Jumpa-jumpa itu ada, di kedai kopi, hantar kek hari jadi pun ada itu biasa, tak rasmi. Tetapi kalau sampai ke tahap kerjasama politik, itu bukan bidang kuasa PN negeri. Ia perlu dibincang dan diputuskan oleh PN di peringkat pusat.
“Mungkin kerana suasana di Kedah ini lebih selesa dan aman, maka perbincangan bermula di sini. Tapi akhirnya keputusan mesti dibuat di pusat, kemudian barulah kita ikut dan laksanakan di negeri,” katanya.
Tambahnya, dengan keadaan politik semasa yang semakin mencabar, beliau berpandangan semua parti perlu mengukuhkan kerjasama demi kestabilan dan masa depan negara.
“Kalau sampai waktunya PN pusat putuskan, kita ikut, yang penting kerjasama politik perlu diperkuatkan lagi untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya. – UTUSAN










