ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah memberi kebenaran agar tanah wakaf di negeri ini diusahakan untuk manfaat umum.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, kebenaran itu diberikan kepada beberapa institusi seperti agensi kerajaan, swasta, individu dan koperasi.
“Bagi pewakaf yang mewakafkan bangunan atau rumah kediaman mereka, MAINJ telah menyewakan premis kediaman tersebut kepada masyarakat awam dengan kadar sewa yang telah dipersetujui.
“Hasil sewaan yang diperolehi itu akan dikembalikan untuk tujuan pembangunan mengikut hujjah wakaf yang telah ditetapkan,” katanya menjawab soalan Abd. Taib Abu Bakar (BN-Machap) berhubung usaha kerajaan negeri untuk tidak membiarkan tanah wakaf menjadi tanah terbiar.
Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.
Tambah beliau, MAINJ melalui usahasama dengan Perbadanan Islam Johor (PIJ) merancang untuk membangunkan sebuah Hospital Pakar dan Kebajikan di tanah wakaf di Jalan Tahana, Bandar Baru Uda agar dapat memberikan kemudahan prasarana kesihatan seperti Institut Jantung Negara (IJN).
“Manakala bagi perancangan pembinaan sekolah agama di seluruh Johor, MAINJ bekerjasama bersama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) untuk menampung keperluan dan kelengkapan serta bilangan pelajar yang semakin meningkat setiap tahun,” katanya. – UTUSAN