fbpx

23 Mei 2022, 3:23 am

  TERKINI

Jenaka rogol: Ain Husniza disaman bekas guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Remaja yang sebelum ini mendedahkan mengenai ‘lawak rogol’ oleh bekas gurunya, Ain Husniza telah disaman oleh pendidik berkenaan.

Guru terbabit, Khairul Nizam Sanuddin, 43, memfailkan saman tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Rasshidi Ema & Yung pada 26 November lalu dengan menama Ain Husniza atau nama penuhnya, Nurain Husniza, 17, dan bapanya, Saiful Nizam Ab. Wahab, 42, sebagai defendan.

Saiful Nizam dalam hantaran di akaun Twitter miliknya turut mengesahkan telah menerima writ saman tersebut. Sesalinan dokumen terbabit diperoleh media hari ini.

Berdasarkan semakan pada sistem mahkamah, tuntutan saman ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen Shah Alam, Nur Syuhada Abdullah pada 2 Disember ini.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, pada 24 April lalu, Khairul Nizam yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA) dekat sini telah menyentuh sub-topik “Amang Seksual dan Tingkah Laku Amang Seksual, Katakan Tidak Kepada Amang Seksual, Kesan dan Akibat Amang Seksual” yang terkandung di bawah tajuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).

Khairul Nizam yang telah mengajar selama 21 tahun di sekolah berkenaan menyatakan sepanjang proses pembelajaran itu, kesemua pelajar wajib membawa dan merujuk kepada Buku Teks Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tingkatan 5.

Pendidik berkenaan menafikan ada membuat lawak lucah atau lawak berkenaan rogol sepanjang sesi pembelajaran PJPK tersebut serta tiada galakan kepada perlakuan rogol malah ianya adalah komunikasi dalam konteks pembelajaran semata-mata untuk pemahaman dan pengajaran.

Plaintif sepanjang sesi pembelajaran itu turut mendakwa dia telah menekankan kesan dan akibat gangguan seksual kepada pemangsa dan mangsa.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Khairul Nizam selaku plaintif mendakwa Ain Husniza selaku defendan pertama telah menerbitkan video di dalam akaun TikTok milik remaja terbabit yang mengandungi pernyataan berbaur fitnah terhadap dirinya. 

Defendan pertama turut mengeluarkan kenyataan serupa mengenai `guru PJK yang juga guru disiplin’ di akaun Twitter miliknya.

Ain Husniza pada keesokan harinya terus menyiarkan beberapa lagi siri video di TikTok dan kenyataan di Twitter sehingga menyebabkan kenyataan berbaur fitnah itu telah disiarkan di akhbar-akhbar tempatan.

Remaja itu juga didakwa telah mengulangi penyataan-penyataan fitnah terhadap dirinya dalam beberapa siri wawancara termasuk di Utusan Online dan Wanita Hari Ini (WHI).

Sementara itu, bapa remaja itu, Saiful Nizam selaku defendan kedua didakwa telah mengeluarkan kenyataan fitnah di dalam kumpulan Whatsapp Community Puncak Alam dan juga akaun Facebook miliknya 

Pada 6 Mei lalu juga, defendan kedua didakwa telah menyiarkan rakaman wawancara dirinya dengan Malaysia Gazette TV yang turut mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah.

Tambahnya, walaupun kedua-dua defendan tidak menyebut namanya di dalam video-video terbabit namun seluruh warga sekolah SMKPA, komuniti Puncak Alam dan warga maya bahawa individu yang dimaksudkan adalah dirinya kerana Khairul Nizam merupakan satu-satunya guru disiplin yang mengajar PJK di sekolah terbabit.

Plaintif juga merupakan satu-satunya guru lelaki yang mengajar PJK dan marangkap guru disiplin yang dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) hasil aduan dan laporan polis yang dibuat oleh Defendan Pertama.

Akibat perbuatan dua beranak tersebut, Khairul Nizam mendakwa reputasinya telah terjejas sehingga menyebabkan masyarakat memandang serong terhadapnya seolah-olah dia merupakan seorang guru yang sukakan perkara lucah dan tidak memberikan teladan yang baik kepada pelajar,

Oleh itu, plaintif memohon satu perintah mahkamah agar kedua-dua defendan memadamkan kesemua kenyataan berbaur fitnah terhadap Khairul Nizam di semua laman sosial milik mereka dan pihak ketiga.

Khairul Nizam turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Ain Husniza dan bapanya daripada terus mengeluarkan apa jua kenyataan berkenaan plaintif yang berbaur fitnah serta kedua-dua defendan atau ejen mereka dihalang daripada mengulangi kesemua pernyataan tidak benar itu di mana sahaja dalam apa jua bentuk

Guru terbabit turut menuntut permohonan maaf daripada remaja terbabit dan bapanya yang akan diterbitkan di semua laman sosial milik mereka dan pihak ketiga yang dikenal pasti serta di akhbar pilihan Khairul Nizam.

Plaintif turut memohon ialah ganti rugi am termasuk ganti rugi akibat kehilangan reputasi dan kredibiliti, ganti rugi melampau serta teladan yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI