Jawatankuasa khas pantau Exco Melaka - Utusan Malaysia

Jawatankuasa khas pantau Exco Melaka

MOHD. Ali Mohd. Rustam (kiri) disambut Sulaiman Md. Ali (tengah) ketika tiba pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi memantau gerak kerja barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, setiap Exco yang baharu dilantik itu juga akan diberi kad skor (score card) bagi memastikan mereka mematuhi akujanji untuk dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.

“Setiap Exco kena menunjukkan prestasi cemerlang setelah dilantik dan mereka bertanggungjawab dengan mana-mana akujanji yang terlibat. Mereka akan diberikan score card yang akan dipantau.

“Kita juga akan ada jawatankuasa khas yang akan dibentuk bagi memastikan semua akujanji dapat dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan seperti mana di dalam manifesto Barisan Nasional (BN), bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran.

“Barisan Exco kali ini menggabungkan parti-parti komponen daripada UMNO, MCA dan MIC untuk membentuk sebuah kerajaan melambangkan perpaduan dan kerjasama antara semua kaum yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri ketika mengumumkan senarai Exco pada sebelah pagi. 

Terdahulu, beliau menghadap Mohd. Ali bagi mendapat perkenan senarai Exco penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15.

Pada sebelah petang, Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia bagi Exco berlangsung di hadapan Mohd. Ali di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh bermula pukul 3.00 petang.

Mengetuai angkat sumpah ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis; ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Ini diikuti ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; ADUN Gadek, VP. Shanmugam; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin; ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh; ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin dan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.

Serentak dengan itu juga, semua Exco turut menandatangani Suratcara Sumpah Jawatan, Taat Setia dan Sumpah Simpan Rahsia.

Dalam ucap taat setia, Sulaiman menzahirkan ucapan terima kasih atas kepercayaan Yang Dipertua Negeri melantiknya menjadi Ketua Menteri pada 20 November lalu selepas BN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, kemenangan 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi oleh BN iaitu majoriti lebih daripada dua pertiga menunjukkan rakyat telah memberi kepercayaan dan mandat untuk mentadbir negeri ini.

“Saya sedar tanggungjawab yang wajib dipikul dan dilaksanakan dengan penuh ikhlas oleh semua barisan baru Exco demi menjadikan negeri ini menjadi sebuah negeri sejahtera dan bahagia melalui kecekapan pentadbiran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN