JAS ambil sampel tompok putih Sungai Masai - Utusan Malaysia

JAS ambil sampel tompok putih Sungai Masai

MOHD. Famey Yusoff (kiri) ketika melihat sampel yang diambil pegawai JAS di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru di Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mengambil sampel sisa buangan yang didakwa menyebabkan pencemaran di Sungai Masai, Kampung Pasir Gudang Baru di sini.

Pengarahnya, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut kerana sisa buangan berkenaan bukanlah bahan yang biasa ditemukan dalam insiden pencemaran.

“Dalam siasatan awal, kita dapati ada beberapa kemungkinan termasuk sisa minyak atau mungkin bahan-bahan lain. Kita juga terima makluman yang kejadian ini bukan kerap berlaku dan ini adalah kali pertama.

“Jadi JAS perlu siasat dan dapatkan maklumat lebih terperinci memandangkan apa kita lihat (bahan) ini adalah berbeza daripada kejadian pencemaran yang lalu, ia lebih kepada serbuk dan berdebu,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru, hari ini.

Penduduk dan kira-kira 250 nelayan pesisir pantai di Kampung Pasir Gudang Baru khuatir untuk turun ke laut kerana pencemaran sisa buangan berupa tompokan putih di kawasan berkenaan tidak diketahui puncanya.

Ujar Mohd. Famey, pihaknya juga akan meminta kerjasama daripada Jabatan Kimia untuk mempercepat siasatan berhubung kandungan sisa buangan itu bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan.

“Kita akan minta kerjasama Jabatan Kimia untuk analisis kandungan sisa ini, selain kita juga akan cuba buat pengesan cap jari untuk lihat kemungkinan premis yang mana boleh hasilkan bahan ini.

“Sebab ini juga adalah kejadian pertama kali, kita memang akan minta kerjasama daripada penduduk setempat terutamanya nelayan memandangkan mereka lebih kenal kawasan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya