“Jangan layan saya sampai begitu sekali...” - Aaron Aziz - Utusan Malaysia

“Jangan layan saya sampai begitu sekali…” – Aaron Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berbicara dengan Hero Malaya ini, auranya lain macam. Sepatah demi sepatah jawapan dilontarkan. Selayaknya dia berdiri di atas gelaran dan penghormatan yang diterima.

Mungkin hala tuju perbualan kami agak ‘panas’, jadi untuk bergurau senda itu agak tidak kena. Dia lebih serius, tidak banyak yang disendakan. Atau mungkin sahaja, di lubuk hatinya masih lagi terkesan.

Minggu lalu kecoh industri seni apabila pelakon popular, Datuk Aaron Aziz memuat naik gambar memaparkan dia menjamu selera beralaskan sebuah tong sampah.

Itu semua gara-gara tiada profesional sebuah stesen televisyen dalam melayan seorang bintang. Maka ramai yang kasihan dan simpati melihat Aaron dilayan sebegitu.

“Mereka tak sediakan bilik, tak apa. Saya boleh sahaja makan di mana-mana. Namun, ketika itu, di situ tiada meja atau kerusi. Saya juga sakit leher, tak boleh makan beralaskan tangan.

“Tong sampah sahaja ada depan muka, jadi gunakan sahaja. Tak ada niat pun hendak meraih simpati atau kandungan media sosial. Saya bukan orang begitu pun.

“Cuma kalau dah jemput orang, layanlah betul-betul. Susah sebenarnya nak jelaskan insiden ini tetapi harapnya ini tidak akan berulang lagi. Jangan layan saya sampai begitu sekali,” dakwanya.

Ditanya apakah dia berkecil hati diperlakukan begitu, Aaron tidak menyimpan dendam. Namun jauh dalam sudut hatinya, dia kecewa dan marah. Kecewa dengan adab seorang manusia.

“Kalau ikutkan, saya tak berkecil hati pun. Tapi saya marah.Apabila pembantu saya call, mereka datang tawarkan bilik baharu. Tetapi, tiada satu pun perkataan maaf keluar daripada mereka.

“Muka selamba sahaja. Mungkin mereka pekerja baharu, saya pun tak kenal. Tetapi ini bukan soal usia, adab itu penting. Mereka mungkin ingat saya seorang artis diva atau demand.

“Tetapi saya cuma minta layanan sama rata. Maaf pun tak ada, nak harap apa kan. Saya kecewa bila jadi macam ini,” dakwanya.

Kematangan lakonan, skrip

Dua dekad mengemudi bahtera seni, jauh perjalanan sudah ditempuh. Malah ombak yang membadai sepanjang pelayaran mematangkan dirinya. Dia bukan biasa-biasa, seorang bintang yang gemerlapan sinarnya.

Ditanya adakah dia mempunyai impian lagi dalam lakonan, Aaron mengambil masa sebentar sebelum menjawab. Mungkin dia mahu menyusun madah supaya tepat kena dengan niatnya.

“Bagi saya, skrip dan jalan cerita sangat penting. Tak boleh main terima sahaja apa tawaran. Saya mencari sesuatu yang berbeza. Tidak kira aksi atau drama, watak juga memainkan peranan penting.

“Memang ada tawaran cuma kadang-kadang watak, skrip jalan cerita sudah ‘bosan’. Saya tidak lagi mahu dilihat sebagai pelakon yang membawa karakter sama. Saya dahagakan perbezaan,” katanya.

Lantas dia membuka cerita tentang watak seorang lelaki homoseksual yang mahu kembali ke pangkal jalan dalam drama baharunya, Lelaki Bukan Pendosa yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

Jelasnya, jalan cerita dan skrip serta watak yang diterima membuatkan dia berminat lantas sukar untuk menolak tawaran tersebut walaupun mungkin akan berdepan dengan persepsi negatif masyarakat.

“Memang ada tawaran tetapi saya mencari watak yang berbeza. Saya fikir, tidak perlu untuk menerima watak yang pernah dijayakan. Watak orang kaya jumpa wanita kampung atau mencari pembantu itu bagi saya tidak perlu.

“Bukan demanding atau rasa diri bagus, tetapi di usia saya dalam industri, kematangan dalam menerima tawaran itu perlu ada. Tahun depan juga ada satu filem aksi tetapi masih dalam perbincangan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya