Jangan ambil mudah keselamatan makanan - Khairy

Jangan ambil mudah keselamatan makanan – KJ

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menekankan, keselamatan makanan tidak boleh diambil mudah malah produktiviti boleh ditingkatkan melalui penghasilan makanan yang selamat dan berkualiti menerusi usaha berterusan oleh semua pihak berkepentingan. 

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan bertanggungjawab untuk memastikan makanan dan bahan mentah di pasaran tempatan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Katanya, berdasarkan hasil pemantauan KKM dari 2018 sehingga Ogos lalu, lebih 45,000 sampel makanan dan bahan mentah termasuk daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan di pasaran tempatan telah dianalisis. 

“Daripada jumlah ini, sebanyak 2,654 atau 5.9 peratus sampel didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.  

“Justeru, KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas makanan dan bahan mentah di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya berucap pada Program Anugerah Pasar Bersih dan Selamat Peringkat Kebangsaan Tahun 2020/2021, di sini hari ini.  

Ia ditayangkan secara maya menerusi Facebook dan Youtube Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sempena sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia dengan tema ‘Keselamatan Makanan di Pasar’.

Berhubung kejadian keracunan di Malaysia, beliau berkata, ia masih terkawal dan berdasarkan data KKM, kejadian keracunan makanan yang dilaporkan sehingga September lalu menunjukkan penurunan sebanyak 57 peratus daripada 288 episod pada tahun lalu kepada 123 episod keracunan makanan di seluruh negara. 

“Oleh itu, KKM akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti promosi dan intervensi untuk meningkatkan tahap keselamatan makanan dan mencegah kejadian keracunan makanan bagi melindungi kesihatan rakyat,” ujarnya. 

Beliau menambah, mengikut statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 273 pasar awam di seluruh negara pada tahun lalu. 

“Walaupun dikategorikan sebagai lokasi penting bagi bekalan bahan makanan negara, pelbagai isu sering melanda pasar-pasar awam ini, sebagai contoh isu kebersihan dan penyakit berjangkit.

“Pelbagai punca pencemaran seperti mikroorganisma, kimia dan fizikal boleh berlaku di pasar sekiranya pengendalian bahan mentah dan makanan tidak dikendalikan dengan bersih dan selamat. 

“Penjagaan kebersihan dan keselamatan makanan di pasar terutamanya di sepanjang rantaian bekalan makanan adalah amat penting. Maka pihak yang bertanggungjawab mengendalikan pengurusan di pasar serta peniaga perlu sentiasa memastikan kebersihan sumber bekalan dan makanan yang dijual,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN