PUTRAJAYA : Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) memaklumkan dua syarikat tempatan bakal meraih petunjuk perniagaan dianggarkan bernilai RM464 juta menerusi kerjasama antara Jabatan Industri dan Ekonomi, Emirat Fujairah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Perkara itu dimaklumkan Kasa menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini.
Kasa berkata, lawatan kerja ke Jabatan Industri dan Ekonomi, Emirat Fujairah menyaksikan satu surat niat (LOI) ditandatangani antara Pengarah Urusan, Jabatan Industri dan Ekonomi, Emirat Fujairah, Mohamed Majed AlAleeli bersama Pengarah Nextgreen Global Bhd, Datuk Mohd. Yusof Din.
Menurutnya, ia membabitkan potensi perniagaan bernilai RM414 juta bagi menerokai pelaburan dalam pembangunan Green Technology Park di Pahang.
“Lawatan kerja itu turut membuka peluang kerjasama yang bakal diterokai di antara Freya Capital Sdn. Bhd. dan National Bonds Corporation dengan pelaburan yang dianggarkan berjumlah RM50 juta.
“Perkara ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan membawa pulangan yang lebih tinggi kepada negara dalam jangka panjang untuk menggerakkan agenda iklim dan kelestarian negara,” katanya.
Katanya, tujuan utama lawatan kerja delegasi Malaysia ke Jabatan Industri dan Ekonomi, Emirat Fujaira antara lain bagi meneroka peluang kerjasama strategik, penyelidikan dan pelaburan antara Malaysia dan UAE.
Pada masa sama, katanya, Kasa juga akan meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan dan kajian keselamatan air bersama Universiti Sharjah.
“Lawatan kerja ini diatur untuk impak pelaburan dan keberhasilan yang tinggi khusus untuk pembangunan lestari dan peningkatan daya tahan iklim,” katanya.
Katanya, pembabitan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai diterajui oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dilaksanakan oleh agensi di bawah Kasa iaitu Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC). -UTUSAN ONLINE










