PETALING JAYA: Tindakan China yang didakwa sering menceroboh kawasan sempadan negara disifatkan sebagai provokasi dan ancaman terhadap Malaysia.
Justeru, Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menggesa kerajaan supaya berwaspada dan kembali menyatakan bantahan ekoran ketegangan yang berlaku di perairan Laut China Selatan.
Katanya, tindakan provokasi dan ancaman yang berterusan secara tidak langsung mengganggu golongan nelayan tempatan yang bergantung hidup dengan sumber laut selain terletaknya pelantar gas dan minyak milik syarikat Petronas yang dikhuatiri menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara ini.
“Isu Laut China Selatan ini telah meningkatkan persaingan dalam kalangan nelayan sehingga menyebabkan konflik ini semakin memburukkan ditambah dengan tindakan China yang bersungguh-sungguh menyokong nelayannya dengan meningkatkan kawalan pengawal pantai dan armada nelayan tentera.
“Hasil daripada peningkatan permintaan makanan laut dan penambahbaikan teknologi, populasi ikan di sekitar rantau ini semakin berkurangan. Para saintis percaya bahawa jika penangkapan ikan diteruskan pada kadar ini, dunia perikanan akhirnya akan runtuh,” katanya.
Pada 26 September lalu, beberapa portal pertahanan antarabangsa melaporkan, sejumlah kapal Pengawal Pantai negara China didakwa menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, antaranya dua kapal negara komunis dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.
Setakat pukul 10.20 pagi waktu Malaysia hari sama, kapal itu dilaporkan hanya sejauh 50 batu nautika atau 93 kilometer dari kapal carigali West Capella disewakan syarikat petroleum nasional, Petronas.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya menggesa kerajaan meningkatkan peralatan dan pengawasan di sempadan negara sebagai langkah keselamatan.
Katanya, tanpa pendekatan seperti itu membuatkan negara tidak akan mengetahui setiap masalah yang akan berlaku menyorot insiden jet pejuang negara China yang memasuki sempadan udara negara sebelum ini.
“Tentera udara kita tidak akan dapat memintas pesawat negara China jika bukan kerana sistem radar di Sabah. Negara-negara lain, biasanya menggunakan radar bersama dengan pesawat tempur untuk menghalang dan menangani ancaman udara.
“Kita mesti bersiap-siaga dari sekarang. Kita mesti bertindak sekarang. Kita mesti berlatih sekarang. Tidak ada lagi masa untuk dipersiakan, ‘rumah kita’ bukan tempat untuk kuasa-kuasa besar menjadi kancah pertempuran,” katanya. – UTUSAN ONLINE