PUTRAJAYA: Langkah penerbitan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari Versi 1 disambut baik pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Kewangan.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, dua kementerian itu juga menyifatkan inisiatif berkenaan merupakan pencapaian penting komitmen serantau menuju ke arah ASEAN yang lebih lestari.
“Ia juga menunjukkan iltizam rantau ini dibuat secara kolektif dengan pendekatan bersesuaian serta akan membantu menggalakkan transformasi sistem yang diperlukan ASEAN,” jelasnya.
Inisiatif itu diterbitkan Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) bersempena Persidangan Pelbagai Pihak Perubahan Iklim (COP26) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Scotland kelmarin.
Usaha itu melibatkan badan sektoral kewangan dengan Malaysia diwakili oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebagai antara sebahagian 12 anggota ATB.
Menjelaskan lanjut, dua kementerian itu menyatakan bahawa inisiatif tersebut dilaksanakan melalui modal dan pendanaan yang didorong ke arah aktiviti hijau dan secara berperingkat.
“Taksonomi ASEAN mengambil langkah ke depan yang membolehkan rantau ini memenuhi komitmen Konvensyen Perubahan Iklim PBB Perjanjian Paris 2016,” tambah kenyataan itu.
Memandangkan setiap negara anggota ASEAN memiliki sistem kewangan yang berbeza, maka taksonomi ini memastikan penggunaannya secara inklusif dan memberikan manfaat.
Malah ia menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara karbon sifar seawal 2059 selain melengkapi misi agenda pemulihan hijau negara dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).
Dua kementerian tersebut juga menyifatkan taksonomi serantau berkenaan adalah selaras objektif Belanjawan 2021 yang memberi tumpuan terhadap kelestarian dan pemulihan ekonomi.
“Bahkan ia sejajar Taksonomi Berasaskan Prinsip dan Perubahan Iklim dikeluarkan BNM awal tahun ini serta komponen pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI),” katanya lagi.
Segala taksonomi tersebut ujar kenyataan itu, secara kolektif bakal mewujudkan lebih peluang dan penggalakkan banyak pelaburan baharu termasuk aliran dana asing ke dalam negara.
Pada masa sama, sektor kewangan berperanan memacu agenda kelestarian negara melalui antaranya Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantaraan Nilai.
Langkah itu menjadi panduan berguna kepada institusi kewangan yang berhasrat mengambil kira pertimbangan risiko persekitaran, sosial dan tadbir urus ke dalam sistem pihak terbabit.
“SC pula telah memperkenalkan SRI sejak 2014 demi pembangunan ekosistem yang kondusif untuk pasaran modal selain bersama BNM mempergiatkan inisiatif kerjasama,” tambahnya.
Dua agensi ini juga memperkukuh keupayaan sektor kewangan menangani risiko berkaitan perubahan iklim dan membangunkan daya tahan sejajar tindak balas ke atas dasar negara.
Bersama-sama pihak berkepentingan lain, dua kementerian itu akan memberi maklum balas terhadap tahap pembangunan seterusnya dan menyokong pelaksanaan Taksonomi ASEAN. – UTUSAN










