SEREMBAN: Semua pemberian inisiatif kebajikan, bantuan insentif dan program pembangunan sedia ada kepada rakyat dikekalkan meskipun Kerajaan Negeri Sembilan dijangka sekali lagi membentangkan belanjawan defisit.
Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Khidir Majid berkata, Belanjawan Negeri Sembilan 2022 yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 26 November ini bagaimanapun tetap menawarkan inisiatif dan bantuan yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Perkara yang baik akan diteruskan, mana-mana inisiatif sedia ada yang kita lihat ada kesan dan memberi impak serta bersifat people centric ia akan diteruskan malah mungkin akan ditambah baik.
“Kali ini kita akan lihat mana lagi golongan sasar, mana-mana lagi yang tercicir atau sebelum ini tidak dapat bantuan kita akan berikan bantuan. Walaupun Belanjawan Negeri Sembilan 2022 dijangka belanjawan defisit, ia defisit bersasar. Kita perlu merangsang ekonomi kerana penting untuk meningkatkan kembali ekonomi Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Media Belanjawan Negeri Sembilan 2022 di sini hari ini.
Menurut Mohd. Khidir, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada hampir keseluruhan sektor ekonomi sekali gus memberi kesan langsung kepada hasil kerajaan negeri.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri perlu berdepan dengan cabaran tersebut dengan memastikan penyesuaian dan adaptasi baharu dilakukan untuk pembentangan Belanjawan 2022.
“Kita perlu bentangkan satu belanjawan yang mungkin bersifat defisit tetapi defisit secara bersasar kepada sektor dan subsektor tertentu. Pastinya tekad kita adalah untuk mengurangkan beban perbelanjaan rakyat.
“Pada masa yang sama untuk tingkatkan keupayaan penjanaan pendapatan ekonomi rakyat, itu penting supaya dengan adanya pakej-pakej ataupun geran tertentu yang akan diumumkan nanti akan dapat bantu ekonomi rakyat untuk kembali pulih dan dapat beradaptasi dengan persekitaran pasca Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE










