Industri tuna negara dibangun secara komprehensif - Utusan Malaysia

Industri tuna negara dibangun secara komprehensif

RONALD Kiandee (tengah) menyerahkan buku Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021-2030 kepada Ketua Pengarah Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly (dua kanan), di Labuan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan terus memastikan pembangunan industri tuna negara dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif dengan meningkatkan pendaratan komoditi perikanan itu.

Langkah itu sejajar dengan pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021-2030.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, menerusi Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna, pendaratan tuna di Malaysia dijangka meningkat kepada 150,000 tan metrik.

Beliau berkata, bilangan vesel moden laut dalam dan tuna yang beroperasi di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Malaysia dan laut lepas akan ditambah dan dibangunkan secara bersepadu.

Di samping itu katanya, pematuhan resolusi domestik dan antarabangsa kepada sekurang-kurangnya 85 peratus dan peningkatan pasaran produk berasaskan tuna yang bernilai tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa akan diberi tumpuan.

Ronald berkata, pelan strategik yang menggariskan enam teras utama ini selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0.

Sementara itu, Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi pula dijangka mampu meningkatkan pendaratan tuna dari perairan Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi serta memangkin pembangunan industri tuna melalui pelaburan swasta.

“Ia juga akan membantu membangunkan industri perikanan tuna secara mapan dan memenuhi piawaian antarabangsa; membangunkan modal insan dalam perikanan tangkapan dan pemprosesan tuna dan memantapkan sistem pengembangan dan pembangunan teknologi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021-2030, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, walaupun Sabah dan Labuan terletak di sebelah Malaysia Barat, hasil tangkapan tuna di Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi perlu diberikan perhatian, diurus dan dieksploitasi dengan baik bagi meningkatkan ekonomi nelayan tempatan.

Mengulas lanjut katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan memperuntukkan RM14 juta untuk projek pembangunan perikanan komersial laut dalam dan tuna menerusi peningkatan pendaratan dan penglibatan penggiat industri perikanan.

Dengan inisiatif ini, pengurusan dan kawalan perikanan komersial dapat dipertingkatkan menerusi platform digital, peningkatan kepada pematuhan antarabangsa, peningkatan fasiliti pendaratan dan pengendalian hasil perikanan serta peningkatan produk perikanan laut dalam dan tuna.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN