Individu muat naik gambar, dakwa polis gagal lerai pergaduhan telah dikenal pasti - Utusan Malaysia

Individu muat naik gambar, dakwa polis gagal lerai pergaduhan telah dikenal pasti

MIOR Faridalathrash Wahid memeriksa lesen memandu pemandu kenderaan pada Op Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Ipoh semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis telah mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang memuat naik gambar dan ulasan kononnya anggota polis gagal meleraikan pergaduhan hingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Flat Jalan Ashby dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua individu terbabit akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Laporan polis telah dibuat dan siasatan juga sedang dijalankan terhadap hantaran di Facebook membabitkan kejadian itu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

“Kita akan panggil mereka yang memuat naik gambar dan membuat ulasan mengatakan pihak polis gagal bertindak ke atas perlakuan jenayah ketika kejadian,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Op Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Menurut Mior Farid, dakwaan anggota polis gagal bertindak awal adalah tidak benar, sebaliknya tindakan pantas mereka berjaya memberkas kesemua suspek di lokasi kejadian.

“Gambar yang tular itu diambil ketika anggota polis baharu tiba di lokasi kejadian di mana jenayah tersebut sedang berlaku. 

“Kita telah bertindak cepat dan hasilnya kesemua suspek berjaya ditahan di tempat kejadian,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 pagi itu, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergaduhan dengan tiga suspek yang dikatakan berpunca daripada isu kecurian pembesar suara mudah alih.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka sehingga berlaku pertengkaran mulut yang akhirnya membawa kepada pergelutan.

Mangsa yang dipercayai mempunyai masalah mental itu meninggal dunia di tempat kejadian dengan sebilah pisau lipat dijumpai di lokasi sama. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya