Individu beretika dapat bina sahsiah yang baik - Utusan Malaysia

Individu beretika dapat bina sahsiah yang baik

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (dua dari kanan) berkenan berangkat mengetuai program berbasikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Khas Covid-19 di sekitar mukim Utan Aji, Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Individu yang beretika dapat membina sahsiah diri atau keperibadian yang baik dan pasti memperoleh kebaikan fizikal, ketenangan jiwa dan perasaan. 

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, individu yang mempunyai sifat demikian sentiasa memelihara dirinya dengan mengamalkan perkara-perkara yang terpuji. 

Baginda bertitah, masyarakat juga sentiasa mengiktiraf individu sebegini sebagai orang yang berbudi tinggi.

“Maksud etika adalah salah satu istilah yang dikaitkan dengan sejarah, watak dan juga akhlak manusia. Ia membincangkan tentang baik ataupun buruk, betul ataupun salah sesebuah tingkah laku serta menilai kelakuan terhadap beberapa kriteria mutlak dengan meletakkan negatif atau nilai-nilai positif di atasnya.

“Etika turut memainkan peranan penting dalam pembentukan sesebuah keluarga yang bahagia.

Ikatan yang erat berdasarkan etika kekeluargaan dapat mewujudkan keharmonian rumah tangga,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program berbasikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Khas Covid-19 di sekitar mukim Utan Aji di sini, semalam.

Sementara itu, baginda bertitah, etika juga penting dalam masyarakat kerana ia dapat memelihara keamanan, keadilan dan juga kesejahteraan yang berterusan.

“Masyarakat yang beretika akan membentuk persekitaran lebih sihat dan dapat menghindari perlakuan negatif serta masalah-masalah sosial seperti penagihan najis dadah, rompakan, penyeludupan, pembuangan bayi dan sebagainya,” titah baginda.

Terdahulu, baginda telah menyantuni beberapa buah rumah asnaf terpilih bagi menyampaikan agihan zakat MAIPs berjumlah RM700 setiap seorang, ‘Kit MAIPs Peduli’ berupa bahan makanan mentah dan beras fidyah.

Antara penerimanya adalah Zainab Ahamad, 65,  yang tidak dapat bekerja akibat sakit saraf dan penat dan Jah Samat, 83, seorang penerima bantuan baik pulih rumah MAIPs, bantuan sara hidup berkala dan bantuan fitrah MAIPs.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN