Iman letak calon bertanding PRN Melaka - Utusan Malaysia

Iman letak calon bertanding PRN Melaka

MOHAMMED Mosin Abdul Razak (tiga dari kanan) menyerahkan pelantikan sebagai calon kepada Abdul Aziz Osani Kasim pada majlis pengumuman calon Iman bagi PRN Melaka di Seremban hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menyaksikan sebuah parti yang mewakili masyarakat India Muslim di negara ini buat pertama kalinya bertanding sebagai calon dalam pilihan raya.

Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) hari ini sah akan bertanding bagi satu kerusi iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

Mereka akan diwakili Ketua Cawangan Iman Machap Jaya yang juga seorang ahli perniagaan, Abdul Aziz Osani Kasim, 52.

Presiden Iman, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, keputusan untuk tampil buat julung kalinya dalam pilihan raya selepas ditubuhkan dua tahun lalu adalah sebagai menguji kekuatan dan populariti parti itu.

“Iman ditubuhkan pada 2019, dalam tempoh sehingga kini, kami juga tidak sangka tiba-tiba akan ada pilihan raya, oleh itu kami kena cuba kami punya kekuatan dan populariti.

“Sebagai sebuah parti politik, kita seharusnya mengambil bahagian dalam sesuatu pilihan raya. Bila sudah ada, kami ambil peluang untuk bertanding.

“Buat masa ini kami bertanding satu kerusi, pertama kali kan, jadi, kami cuba dahulu, insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman calon Iman bagi PRN Melaka di sini hari ini.

ABDUL AZIZ OSANI KASIM

Ditanya peluang Iman untuk memenangi kerusi itu dengan menghadapi tiga calon parti yang lebih besar, Mohammed Mosin memberitahu, faktor anak tempatan akan memberi sedikit kelebihan buat Abdul Aziz.

“Abdul Aziz adalah anak tempatan Machap Jaya, dia lebih mengetahui apa masalah yang dihadapi penduduk di situ. Keakraban dia dengan penduduk sekitar juga kami lihat agak rapat.

“Dia baik dengan semua golongan masyarakat jadi saya harap calon yang kami tampilkan ini orang yang tepat untuk mewakili penduduk Machap Jaya dan dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya,” kata beliau. 

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, dia yakin untuk menghadapi PRN Melaka mewakili sebuah parti baharu dan yakin dapat diterima penduduk DUN berkenaan.

“Saya anak tempatan, saya duduk di kampung Melayu, di sebelah kampung itu pula kampung Cina, hubungan saya dengan penduduk sekitar juga baik dan mereka mengenali saya, ia memudahkan kempen saya nanti,” katanya.

Iman sebelum ini dikenali sebagai Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PBIM) dan ditubuhkan pada 2019 bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim.

Namun pada September tahun lalu, PBIM meminda perlembagaan parti dengan menukar nama kepada Parti Perikatan India Muslim Nasional atau Iman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya