PUTRAJAYA: Pas dan UMNO mengorak langkah dalam usaha penyatuan orang Melayu selepas wakil kedua-dua parti mengadakan pertemuan membincangkan perkara itu, kelmarin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan wujud pertemuan antara wakil UMNO dan Pas, namun menegaskan ia tidak membabitkan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.
Ditanya adakah perbincangan berkaitan usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN 2.0), Ahmad Zahid berkata, ia tidak dibincangkan dalam pertemuan itu.
Menurutnya, ia lebih menjurus kepada perbincangan mengenai kerjasama dan usaha memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
“Pertemuan itu bukannya melibatkan sebarang keputusan atau rundingan rasmi di peringkat tertinggi parti.
“Atas sebab itu, pintu kami sentiasa terbuka bukan hanya untuk mengadakan perbincangan politik tetapi juga perbincangan mengenai agenda nasional yang harus diterjemahkan bersama,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan Hari TVET Negara 2026, di sini semalam.
Menurutnya, walaupun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam landskap politik yang dinamik, sebarang bentuk kesefahaman baharu masih terlalu awal dimuktamadkan.
“Keutamaan BN dan UMNO ketika ini adalah memastikan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) serta gabungan dari Sabah dan Sarawak terus kekal sehingga tamat penggal Parlimen ke-15,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa pemimpin parti itu dan UMNO mengadakan pertemuan, malam kelmarin ketika syor supaya MN 2.0 dijayakan sedang hangat diperkatakan.
Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak memberi butiran terperinci mengenai lokasi dan tujuan pertemuan tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘pertemuan biasa’ yang dibuat apabila wujud permintaan untuk berjumpa.
“Yang nak jumpa, kita jumpa. Saya tidak terlibat tetapi dimaklumkan kepada saya,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu sebelum ini wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.
Beliau berkata, pembubaran DUN Johor yang dijangka diikuti beberapa negeri lain membuka ruang kepada gelombang perubahan dalam landskap politik negara, sekali gus berpotensi mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam dan bumiputera.
Gambar memaparkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad tiba di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dikatakan sebagai lokasi Mesyuarat Biro Politik UMNO berlangsung turut tular di media sosial sekali gus mencetuskan spekulasi pemimpin kedua-dua parti itu mengadakan pertemuan untuk berbincang cadangan menghidupkan kembali MN 2.0.
Sementara itu, ditanya mengenai gerakan yang mahu menghidupkan semula MN 2.0, Abdul Hadi berkata, ia adalah satu pandangan yang mana konsep perjuangan Pas adalah menyatukan orang Melayu Islam dan kalangan mereka mesti memimpin negara.
“Yang kedua wajib mengambil kira masyarakat majmuk bukan Islam, tidak boleh dipinggirkan. (Pertimbangan lain) bagi menjayakan MN 2.0 antaranya adalah kita mengajak bukan sahaja parti-parti Melayu Islam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, tetapi dalam kalangan berpengaruh dalam masyarakat Islam,” katanya.
Ditanya sama ada Pas bersedia menerima penyertaan mana-mana parti termasuk Parti Bersama Malaysia (Bersama) dalam gagasan berkenaan, beliau berkata, perkara itu dinilai berdasarkan kekuatan dan pengaruh pihak terbabit.
“Kita akan lihat kepada kekuatan dan pengaruh. Kita juga kena sedar ada kawasan yang kita menang dengan majoriti tipis, malah pernah berlaku kemenangan dengan hanya dua undi.
“Sebab itu kita akan mengambil kira tokoh-tokoh yang berpengaruh,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, Pas akan membuat keputusan berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Mesyuarat Jawatankuasanya, Isnin ini.
“Majlis Syura Ulama (MSU) Pas telah bermuzakarah dan membuat keputusan terpulang kepada (Pas) Pusat bila nak umum dan apa keputusan yang patut diambil. Isnin ini, insya-Allah kita akan bincang semua,” katanya.
Mengulas mengenai pilihan raya negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan, Abdul Hadi berkata, parti itu akan mengkaji kesesuaian meletakkan seseorang calon berdasarkan taklimat diberikan.
Pada dasarnya, Pas akan bertanding tetapi keputusan dibuat mengikut kesesuaian pengaruh, peluang dan calon. – UTUSAN










