Iklan haram umrah berdepan tindakan - Utusan Malaysia

Iklan haram umrah berdepan tindakan

MALAYSIA memutuskan tiada perjalanan mengerjakan ibadat umrah selepas 7 Januari ini sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengendali pelancongan berlesen di negara ini tidak boleh mengiklankan sebarang pakej pelancongan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan.

Itu ketetapan dibuat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang bermesyuarat hari ini yang turut mahu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menguatkuasakan Peraturan 6(1A) (a), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

Akta itu menetapkan Pengendali Pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan.

MOTAC menerusi kenyataan akhbar hari ini memaklumkan, bermula 1 Februari 2022, mana-mana syarikat pengendali umrah yang mengiklankan pakej umrah tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, penguatkuasaan peraturan pengiklanan pakej umrah adalah inisiatif MOTAC untuk mengenal pasti iklan-iklan haram pakej umrah.

“Setiap iklan umrah yang diluluskan akan diberikan Nombor Siri Khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan yang akan dipromosikan.

“Borang permohonan iklan ini boleh dimuat turun daripada laman sesawang www.motac.gov.my,” katanya.

Katanya, MKSU yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri itu turut mendengar pandangan pemain industri mengenai cadangan-cadangan untuk memperkasakan industri umrah selari dengan perkembangan semasa.

Jelasnya, MOTAC sentiasa mendengar dan meneroka idea-idea baharu supaya kebajikan dan hak orang awam terjaga dalam melaksanakan ibadah umrah.

Mesyuarat pertama kali MKSU itu berlangsung hari ini selepas penangguhan mesyuaratnya kali terakhir pada tahun 2018.

Ia melibatkan wakil-wakil daripada Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Lembaga Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia (PDRM), persatuan-persatuan pengendali umrah dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN