KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) merangka 111 inisiatif di bawah Peta Transformasi Mara 2026-2030 bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi bumiputera.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif tersebut meliputi sektor pendidikan, keusahawanan, kewangan korporat serta khidmat pengurusan dengan penekanan kepada usaha memperluas manfaat kepada pelajar, usahawan dan masyarakat luar bandar.
Katanya, pelaksanaan agenda transformasi itu disokong oleh tujuh pasukan khas yang telah digerakkan sejak 2023.
“Dapatan mereka diterjemahkan kepada 111 inisiatif, merangkumi enam tunjang utama, iaitu dasar dan tadbir urus, kecekapan kewangan, penyampaian mandat, pembangunan profesional, teknologi maklumat serta penyelidikan dan jaringan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pelan Strategik Mara 2026-2030 sempena Sidang Media Tahunan Mara di Hotel Sunway Putra, di sini hari ini.
Mengulas kecemerlangan sektor pendidikan, Asyraf Wajdi berkata, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) menunjukkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan lima maktab berjaya mencatat Gred Purata Maktab (GPM) di bawah 1.500, manakala 14 dengan GPM di bawah 2.000.
Katanya, kejayaan itu dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan termasuk bimbingan profesional kepada guru, pelaksanaan pedagogi baharu serta pengukuhan program Ulul Albab yang kini membabitkan sekitar 36,000 pelajar di seluruh MRSM.
Bagi memperluas peluang pendidikan global, Mara juga memperkenalkan Program Elite Bound yang menyediakan laluan khas untuk pelajar cemerlang melanjutkan pengajian di universiti terbaik dunia.
Dalam pada itu, tambahnya, sektor keusahawanan Mara terus meletakkan fokus kepada pembangunan industri halal serta pengukuhan kapasiti usahawan bumiputera untuk menembusi pasaran global.
“Sepanjang 2025, program Gate to Global (GTG) mencatat nilai transaksi jualan sebanyak RM449 juta melibatkan 362 usahawan dengan 2,818 produk berjaya menembusi pasaran global,” katanya.
Selain itu, Mara turut menaik taraf tujuh Kawasan Industri Makanan miliknya kepada Mara Halal Industrial Park (MHI) dengan kemudahan kilang, latihan, khidmat teknikal serta akses pembiayaan kepada usahawan bumiputera.
Sempena Sambutan Hari Mara ke 60 Tahun, Mara akan menganjurkan ‘Karnival 60 Tahun MARA: Menjunjung Amanah’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 1 hingga 5 Mei ini.
Karnival tersebut menghimpunkan pelbagai program termasuk pameran pendidikan, program pembangunan kemahiran GiatMara dan pelancaran inisiatif strategik Mara. – UTUSAN










