ALOR GAJAH: Pertemuan ibarat ‘sifu (guru) dan anak buah’. Itu yang dapat digambarkan apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berdepan Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Ab. Rauf yang pertama kali bertanding untuk Barisan Nasional (BN) menegaskan, beliau tidak melihat pertembungannya dengan Mas Ermieyati sebagai satu cabaran besar.
Sebaliknya, menurut Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu, ia merupakan satu titik tolak melihat bagaimana rakyat dapat menilai Mas Ermieyati yang sebelum ini diberi mandat mewakili BN, tetapi melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya mengalu-alukan pertemuan dengan Mas Ermieyati dan saya anggap sebagai satu pertarungan yang sihat kerana ia berkait rapat dengan sebuah perjuangan di antara BN dan Bersatu.
“Saya tidak kisah siapa pun yang bertanding dengan saya, tetapi apa yang penting rakyat tahu perjuangan BN adalah membawa kesejahteraan kepada rakyat.
“Walaupun masyarakat di sini tahu pertandingan ini umpama ‘sifu dan anak buah’, tetapi saya anggap ia sebagai sebuah pertandingan, sebuah perjuangan yang mana BN adalah sebuah parti yang dilihat lebih berprinsip,” katanya dalam sidang akhbar di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini hari ini.
Ab. Rauf menegaskan, beliau tidak akan berkempen menyentuh perkara peribadi sehingga mengaibkan calon lawan.
Sebaliknya jelas beliau, masyarakat di Parlimen Masjid Tanah boleh menilai keupayaan BN yang pernah mentadbir negeri ini sebelum tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ditanya mengenai peluang calon-calon UMNO untuk mengekalkan kemenangan di lima DUN yang merupakan kubu kuat BN sejak merdeka, beliau menegaskan, tiada sebab rakyat di Masjid Tanah harus menolak.









