BUTTERWORTH: Sebanyak 7,400 kilogram (kg) sisa buangan elektrik dan elektronik atau ‘e-waste’ bagi kategori industri dan 2,492 kg sisa buangan yang sama bagi kategori pusat kitar semula (PKS) dikumpul sepanjang lebih dua minggu pertandingan Household E-Waste Collection Hero bermula 15 Oktober lalu.
Pertandingan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN 2021) peringkat negeri itu melibatkan penyertaan daripada 20premis industri serta lapan PKS di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam kawasan Seberang Perai.
Selain Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, pertandingan tersebut turut mendapat kerjasama dua PBT di negeri ini iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, program itu bertujuan membantu masyarakat melupuskan buangan e-waste dengan betul sekali gus mengelakkan dilupuskan sewenang-wenangnya sehingga mencemarkan alam sekitar serta memudaratkan kesihatan awam. “Sisa buangan elektrik dan elektronik ini dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mana pengurusan dan pengendalian serta pelupusan hendaklah mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan tersebut.
“Justeru, e-waste memerlukan pengurusan yang lebih kompleks berbanding sisa pepejal yang biasa kerana mempunyai komposisi logam-logam yang boleh mencemarkan sumber air dan kesihatan kita,” katanya pada majlis penutup pertandingan itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankausa Kebajikan dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh di Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang di sini. – UTUSAN ONLINE