KUALA TERENGGANU: Kemasukan pelancong ke negeri ini berjaya memberi limpahan rezeki kepada kalangan peniaga, namun nasib masih tidak menyebelahi golongan pengayuh beca yang kekal kais pagi, makan pagi.
Walaupun perkhidmatan pengangkutan tradisi itu beroperasi tujuh hari seminggu di Pasar Payang 2 di sini, tetapi pendapatan yang diraih hanya kira-kira RM200 sebulan.
Yahya Ismail, 70, berkata, tempoh bekerja dari pukul 7 pagi hingga 1 petang lebih banyak dihabiskan dengan termenung menanti penumpang, sekali gus memaksanya akur untuk pulang tangan kosong.

Katanya, sebelum pandemik Covid-19, upah mengayuh beca yang diterima mencecah RM500 sebulan dan jumlah itu hanya mampu untuk membayar kos sewa rumahnya di Kampung Gong Tok Nasek.
“Isteri saya menghidap gout dan dalam sebulan, kira-kira tiga kali dia perlu mendapatkan rawatan di klinik, mujur perbelanjaan itu ditanggung anak-anak.
“Sejak Covid-19 melanda, kos sewa rumah dan perbelanjaan dapur dibayar sepenuhnya oleh anak-anak, saya ingat pendapatan boleh pulih kembali dengan kemasukan pelancong tetapi sangkaan itu meleset,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Yahya, perkhidmatan beca di Terengganu makin dipinggirkan masyarakat seiring dengan perubahan zaman di samping rata-rata pelancong yang selesa menaiki kenderaan sendiri untuk ke mana-ana destinasi.
Bagaimanapun, katanya, selagi kudrat masih bertenaga, dia tetap akan mencari makan di bidang itu memandangkan sudah 40 tahun menghabiskan sisa kehidupan dengan mengayuh beca.
Katanya, hasrat kerajaan untuk memperkenalkan inovasi beca berkuasa solar pada tahun depan diyakini mampu memberi nilai tambah sekali gus menyelamatkan perkhidmatan tersebut daripada pupus.
“Sekiranya ada peluang, saya amat berharap dapat mengayuh beca berkuasa solar yang tentunya lebih mudah untuk dikendalikan di samping mampu menjadi tarikan baharu kepada orang ramai termasuk penduduk setempat.
“Pembaharuan itu diyakini dapat mengubah nasib pengayuh beca yang merupakan antara ejen pelancongan di negeri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE