Harga sayur paling tinggi dalam tempoh 30 tahun - Utusan Malaysia

Harga sayur paling tinggi dalam tempoh 30 tahun

CHO PO HUAT menunjukkan sayur sawi dan bunga kubis iaitu antara sayur-sayuran yang mengalami kenaikan harga kebelakangan ini di Pasar Kuala Perlis, Perlis hari ini.– UTUSAN/NAZLINA NADZARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : “Sejak 30 tahun berniaga, kenaikan harga sayur-sayuran kebelakangan ini adalah paling tinggi pernah dialami,”

Demikian antara keluhan para peniaga sayurdi pasar Kuala Perlis, di sini berhubung isu kenaikan harga sayur yang dikesan sejak tiga minggu lalu yang bukan hanya membebankan mereka malah pengguna sendiri.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga sayur seperti kubis, sawi, bunga kubis dan brokoli naik antara RM2 sehingga RM8.

Ekoran kenaikan tersebut, ada dalam kalangan peniaga yang tidak mahu mengambil risiko menjual sayur-sayuran jenis tersebut bagi mengelak kerugian.

Seorang peniaga, Cho Po Huat, 74, berkata, bunga kubis pada masa ini dijual pada harga RM20 sekilogram berbanding RM12 sekilogram, kira-kira sebulan lalu.

Katanya, harga brokoli pula meningkat daripada RM8 sekilogram sebelum ini kepada RM20 sehingga RM22 sekilogram sekali gus menyebabkan dia memilih tidak menjual sayur tersebut ketika ini.

“Sayur sawi dari Thailand pun naik kepada RM6 sekilogram berbanding RM4 sekilogram dalam dua tiga minggu lalu. Ada pelanggan kata kami saja jual mahal, sedangkan kami juga memperoleh harga yang mahal daripada pembekal.

“Kenaikan harga ini membuat kami pun pening kepala. Sudah 30 tahun jual sayur, ini adalah kali pertama saya lihat kenaikan paling tinggi,” katanya.

Sementara itu, Low Peik Ngo, 52, memberitahu, dia memilih sayur sawi daripada Thailand berbanding dari Cameron Highlands yang jauh lebih tinggi harganya.

“Sawi dari Cameron Highlands ditolak kepada kami pada harga RM8 sekilogram, kalau ambil nanti terpaksa jual pada harga lebih mahal berbanding sawi dari Thailand yang ditolak oleh pembekal pada harga antara RM4 ke RM5 sekilogram.

“Banyak sayuran yang naik harga dan tidak pernah terjadi sebelum ini. Saya harap kerajaan dapat membuat pemantauan dan mengawal kenaikan harga tersebut supaya tidak membebankan peniaga seterusnya pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengguna, Nor Marliana Yusri,27, berkata, kenaikan harga sayur kebelakangan ini memberi kesan kepada para pengguna yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih.

“Sebelum ini, ingat harga ayam sahaja mengalami kenaikan, tidak sangka pula beberapa jenis sayur-sayuran juga naik harga. Boleh dikatakan kebelakangan ini, semua barangan naik harga dan kami berharap kerajaan dapat memantau situasi ini,” kata suri rumah tersebut.

Seorang peniaga makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Zaini pula berkata, meskipun kebanyakan harga barangan naik termasuk terbaharu sayur-sayuran, dia masih bertahan tidak menaikkan harga makanan.

“Apabila harga sayur yang menjadi antara keperluan untuk masakan panas naik, ia secara tidak langsung memberi kesan kepada kami para peniaga makanan ini. Ekoran itu, kami terpaksa mengeluarkan modal lebih sedangkan keuntungan masih sama kerana makanan kami tidak naikkan harga.

“Jika keadaan seperti ini (kenaikan harga barangan) berterusan, ia sangat memberi kesan kepada semua orang bukan sahaja peniaga,” katanya.

Dalam pada itu,  Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Perlis memaklumkan, terdapat kenaikan harga beberapa jenis sayur di negeri ini dengan julat kenaikan antara RM2 hingga RM8 sekilogram.

Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, trend kenaikan tersebut dikesan berlaku dengan ketara sejak minggu lalu iaitu bagi sayur kubis, sawi, brokoli, kacang buncis dan cili merah.

“Maklumat yang diterima mendapati kenaikan harga berpunca dari faktor cuaca iaitu hujan berterusan dan bekalan berkurangan,” katanya.

 

Harga sayur sekilogram semasa berbanding dua hingga tiga minggu lalu

Kubis                  Harga semasa – RM5.50                       Harga sebelum – RM3.50

Kubis bunga      Harga semasa – RM20                         Harga sebelum – RM12

Brokoli              Harga semasa – RM20-22                   Harga sebelum – RM8

Sawi Thailand   Harga semasa – RM6                            Harga sebelum – RM4

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya