Malaysia, ASEAN tidak berkecuali dalam isu Gaza - Utusan Malaysia

Malaysia, ASEAN tidak berkecuali dalam isu Gaza

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan Vladimir Putin di Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN kali ke 35 di Kazan, Rusia. - Ihsan PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan ASEAN tidak berkecuali dalam menangani isu antarabangsa seperti konflik di Gaza kerana pendirian blok itu tetap berasaskan prinsip hak asasi manusia dan penolakan terhadap kekejaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN sebaliknya berpegang kepada konsep ASEAN Centrality yang membolehkan rantau itu mengekalkan hubungan dengan semua pihak tanpa terikat kepada mana-mana kuasa besar atau ideologi tertentu.

Katanya, pendekatan tersebut turut diguna pakai dalam isu Gaza, serangan terhadap Lubnan serta insiden lain yang melibatkan pencabulan hak asasi manusia.

“Ini bermakna kita tidak terikat dengan mana-mana pendirian ideologi atau kuasa besar tertentu, namun tetap menyatakan pendirian secara tegas berdasarkan prinsip hak asasi manusia, penyalahgunaan kuasa serta kekejaman terhadap golongan minoriti di mana-mana sahaja,” katanya semasa temu bual bersama media Russia hari ini.

Anwar berkata, Malaysia mengambil pendirian bebas dalam hubungan antarabangsa termasuk ketika berdepan isu geopolitik membabitkan pelbagai negara.

Katanya, Malaysia turut menyuarakan pendirian terhadap serangan ke atas negara berdaulat serta menegaskan perkara itu perlu dilihat dari sudut prinsip asas hubungan antarabangsa.

“Malaysia terus terlibat dalam usaha diplomasi dengan pemimpin negara berkaitan bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlaku,” katanya.

Perdana Menteri kini berada di Kazan, ibu negara dan bandar terbesar Tatarstan, Russia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia yang berlangsung pada 17 dan 18 Jun.

Lawatan berkenaan diadakan atas jemputan Presiden Vladimir Putin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN