Gaya rambut messy jadi pilihan murid - Utusan Malaysia

Gaya rambut messy jadi pilihan murid

KEBANYAKAN pelanggan kanak-kanak memilih menggayakan potongan rambut messy untuk memulakan sesi pembelajaran secara fizikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Trend potongan rambut gaya messy kini menjadi pilihan dalam kalangan anak muda terutama murid sekolah di negeri ini yang memulakan sesi persekolahan secara fizikal minggu ini.

Gaya messy bermaksud susunan rambut yang tidak teratur di bahagian depan selain tampak kusut.

Sebelum ini, potongan rambut jenis mid fade yang dikatakan sudah popular sejak 1960-an menjadi sohor kini dalam kalangan pelajar lelaki sebagai persiapan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di peringkat menengah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tinjauan mendapati, selain gaya messy, ada juga kanak-kanak memilih potongan rambut gaya instafamous yang juga pelantun lagu Life Goes On kelahiran Amerika, Oliver Tree.

Pengusaha MJ’s Barber Shop, Sarizal Hakeb, 48, berkata, hampir 85 peratus pelanggannya terdiri pelajar sekolah rendah memilih menggayakan stail potongan rambut messy untuk ke sekolah.

Menurutnya, dia tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan termasuk secara jumpa terus sejak Isnin lalu di dua premis yang diusahakannya di Bukit Gedung dan Bukit Jambu,l di sini.

“Hampir majoriti pelanggan kanak-kanak meminta memotong rambut messy termasuk bersetuju digayakan dengan trend sebegitu menerusi hasil kreativiti tukang gunting rambut di sini.

“Ini kerana, rata-rata mereka (pelanggan) datang dengan rambut yang sudah kembang, kusut dan lebat kerana sudah lama tidak digunting berikutan pandemik Covid-19.

“Kami cuba menggabungkan elemen rambut lama dan baharu itu mengikut pengedaran masa dan ternyata semakin menjadi kegilaan anak muda hari ini,” ujarnya ketika ditemui di premis Bukit Jambul, semalam.

Sarizal memberitahu, dia menarik nafas lega apabila perniagaan kedai gunting rambut miliknya itu mula mendapat sambutan pelanggan setelah kebenaran merentas negeri 11 Oktober lalu.

“Seperti baru hendak bertapak semula. Sebelum ini, kami terpaksa berusaha keras dan bertahan dalam tempoh lama untuk menampung kehidupan harian termasuk menjelaskan hutang sewa premis serta gaji pekerja.

“Harapan kami agar tiada lagi arahan penutupan premis perniagaan yang menjadi penyumbang utama pendapatan isi rumah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×