KUALA LUMPUR: Isu gangguan seksual dalam kalangan penggiat seni industri dipercayai sudah lama berlaku tetapi mangsa terpaksa mendiamkan diri kerana khuatir periuk nasi mereka terjejas jika membuat aduan.
Pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar, 47, berkata, bagaimanapun dengan penggunaan media sosial pada zaman digital ketika ini, suara mereka yang teraniaya itu lagi mudah disuara dan disebarkan.
Beliau yang juga Presiden Digital Creative Content Creators Associations Malaysia (DCAM) berharap isu gangguan seksual dalam kalangan penggiat seni industri tidak lagi berlaku lebih-lebih lagi selepas sektor kreatif ‘ditidurkan’ sementara.
“Perkara ini berlaku juga di Hollywood dan mereka sudah mula menyingkap kisah-kisah ketika baru hendak memulakan karier.
“Saya harap perkara ini tidak lagi berlaku terutama selepas kita mula menikmati kebebasan bekerja terhenti akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, pelakon, Sharifah Amani mendedahkan bahawa terdapat kru produksi drama dan filem yang berdepan gangguan seksual di tempat kerja.
Terdahulu, pelakon Namron ketika diwawancara Mingguan Malaysia pada 14 November lalu memberitahu wujudnya pelakon-pelakon lelaki yang diganggu secara seksual oleh individu-individu berpengaruh dalam industri itu.
Pengarah terkenal, Michael Ang pula memberitahu pernah didatangi rakan-rakan artis yang turut menceritakan pengalaman mereka diganggu secara seksual oleh individu tertentu dalam industri hiburan.
Sementara itu, penerbit Tanah Beris Film Production Sdn. Bhd., Shuhaimi Lua menasihatkan mana-mana pihak tidak kira artis atau sebaliknya, mengelakkan diri daripada berada di tempat sunyi.
“Bukan bidang seni sahaja. Bidang mana-mana pun terjadi kalau ada yang memberi dan menerima. Sebenarnya isu ini sudah lapuk.
“Gangguan seksual ini berlaku sejak dahulu lagi. Elakkan berduaan di tempat sunyi, jaga pemakaian dan elak bercakap lucah,” katanya.
Mengulas pengalamannya, Shuhaimi mendedahkan, dia sendiri pernah diganggu dan menerima mesej daripada pelapis baharu.
“Ada itu adalah tapi tidak ada sampai tunjuk barang sulit. Kalau ada pun buat tidak kisah sahaja. Setakat mesej lucah dekat saya kadangkala kena faham antara bergurau dan serius,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










