'Fun fair' kes pengunjung jatuh buaian diarah tutup sepenuhnya - Utusan Malaysia

‘Fun fair’ kes pengunjung jatuh buaian diarah tutup sepenuhnya

LOKASI kejadian 'fun fair' yang mengakibatkan seorang pengunjung maut pada Rabu lalu di Cheras Selatan, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tapak pesta ria atau fun fair berhampiran Aeon Jusco Cheras Selatan, Balakong yang mengakibatkan seorang pengunjung maut selepas terjatuh dari buaian berpusing diarah menghentikan operasi dan ditutup sepenuhnya. 

Arahan itu dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden berkenaan, Rabu lalu.

Pengarah JKKP Selangor, Bahrudin Mamat berkata, pihaknya sudah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati dua mangsa terjatuh setinggi kira-kira lapan meter dari buaian berkenaan pada pukul 11.15 malam.

“Susulan itu, kita mengeluarkan lima Pemberitahuan Larangan mengikut Seksyen 19 (2) Akta Kilang Dan Jentera 1967 bagi menghentikan operasi ke atas lima unit alat permainan.

“Satu Notis Larangan mengikut Seksyen 48 (2) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 turut dikeluarkan atas kegagalan pihak operator menjalankan penaksiran risiko bagi semua aktiviti di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas dipercayai terjatuh daripada buaian permainan di sebuah pesta ria.

Polis menerima laporan kira-kira pukul 12.05 tengah malam daripada seorang pekerja mengenai kejadian menimpa dua lelaki tempatan tersebut.

Seorang mangsa berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia dan seorang lagi berusia 30-an yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Jelas Bahrudin, JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku pelanggaran akta yang ditetapkan.

“Kita memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Operator mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti dan bertanggungjawab meneliti terlebih dulu bahaya dengan membuat penilaian risiko sebelum menjalankan operasi,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar insiden berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya