Festival silat raih dua rekod dalam The Malaysia Book of Records 

Festival silat raih dua rekod dalam The Malaysia Book of Records 

SHAHIDAN Kassim (tiga dari kiri) ketika gimik pelancaran Kehormat PESAKA pada Majlis Pelancaran Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 yang julung kali dianjurkan meraih sejarah tersendiri apabila dua programnya direkodkan dalam The Malaysia Book of Records

Dua rekod tercipta masing-masing Penganjuran Pertama Festival Silat Secara Maya dan Demonstrasi Aliran Perguruan Silat Terbanyak Secara Maya di negara ini.

Demonstrasi disertai 46 aliran perguruan silat dari pelbagai negeri itu mencipta sejarah apabila mempamerkan silat perguruan masing-masing dalam satu platform secara maya.

Detik bersejarah itu turut disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Nazari Ahmad. 

Rekod itu turut disaksikan Pengarah Pembangunan Perniagaan The Malaysia Book of Records, Jean Heah Yeow. 

Shahidan dalam ucapannya berkata, beliau berharap usaha menyatukan 46 aliran perguruan silat berkenaan dapat membantu memartabatkan dan menaikkan lagi imej silat negara supaya lebih dikenali di mata dunia. 

Beliau berkata, ketika ini, terdapat 446 jenis aliran atau perguruan silat asli yang direkodkan di negara ini. 

“Demonstrasi silat secara maya itu menghimpunkan 46 aliran perguruan silat masing-masing dari Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Perlis, Perak dan Labuan,” katanya ketika merasmikan Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 di sini, hari ini.

Antara pertubuhan silat yang menyertai demonstrasi maya itu antaranya Pertubuhan Seni Silat Teralak Tunggal Kelantan, Pertubuhan Seni Silat Cekak Harimau Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Gerak Tiga dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia Kebangsaan. 

Pada masa sama, Shahidan berkata, kementeriannya kini dalam perancangan mewujudkan arena silat tetap di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak lama lagi.

Menurutnya, arena silat tetap itu bakal memudahkan penggiat silat untuk menjalankan aktiviti silat sekali gus mempamerkan warisan itu kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

“Kami berharap festival ini dapat merancakkan lagi pembangunan dan kesenian silat di negara ini,” katanya. 

Antara program yang dirancang sepanjang penganjuran festival itu termasuk Simposium Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 yang bakal berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya