Faizal komited adakan rundingan dengan kepemimpinan belia

Faizal komited adakan rundingan dengan kepemimpinan belia

AHMAD Faizal Azumu mencuba peralatan memanah ketika mengadakan lawatan dan merasmikan Kompleks MSN Nilai di Seremban, hari ini. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Rundingan bersama seluruh kepemimpinan pertubuhan dan persatuan belia akan diteruskan bagi mencari jalan penyelesaian di sebalik isu penurunan had umur memegang jawatan di dalam persatuan belia kepada 30 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau komited untuk memastikan apa juga tindakan yang akan dibuat nanti, ia tidak akan menyebabkan mana-mana pertubuhan belia mati selain untuk memastikan situasi menang-menang dapat diwujudkan.

“Sebenarnya tidak banyak pihak yang membantah, hanya sebilangan yang tidak faham apa yang mahu kita lakukan. Saya akan teruskan perundingan dengan kepemimpinan belia di seluruh negara.

“Saya akan cari satu jalan penyelesaian untuk memastikan apa juga keputusan dan tindakan yang kita akan buat pada tahun hadapan, tidak akan menyebabkan persatuan atau pertubuhan belia itu mati dan akan ada situasi menang-menang untuk semua pihak, itu komitmen saya.

“Saya akan cuba cari jalan supaya kepemimpinan yang ada sekarang ini dapat menyerahkan tugas kepada pemimpin yang akan datang dan sebagainya, itu sahaja yang mahu kita pastikan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai di Seremban, hari ini.

Ahmad Faizal sebelum ini di Parlimen memaklumkan pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia akan berkuat kuasa bermula 1 Januari ini.

Sementara itu, beliau menambah, perkara itu telahpun diaktakan selepas ia diluluskan di Parlimen pada tahun 2019.

“Ramai terlupa bahawa ia telah diaktakan dan amat malang sebagai contoh kita buat undang-undang, kemudian kita tidak buat, tidak ikut. Ia telah diluluskan di Parlimen pada tahun 2019, telah jadi akta dan hari ini kita berada pada tahun 2021, akta yang kita sama-sama luluskan.

“Sebelum ini berlaku desakan daripada pertubuhan-pertubuhan belia bermakna semua Menteri Belia dan Sukan sebelum saya. mendengar rintihan daripada kepemimpinan belia dan menangguhkan pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah ini.

“Saya pula beri komitmen untuk terus adakan libat urus dan mendengar pandangan mereka sebelum menetapkan satu keputusan yang terus kita akan lakukan, aktanya sudah ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya