PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Syamel mendedahkan jantina cahaya mata sulungnya iaitu bayi perempuan yang dijangka bakal dilahirkan, pada Mac tahun hadapan.
Pendedahan tersebut dikongsi penyanyi lagu Lebih Sempurna itu gara-gara berasa terlalu teruja, dia secara tidak sengaja mengumumkan jantina bayinya semasa beraksi di Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya Kuala Lumpur, malam kelmarin.
“Memang niat kami untuk berkongsi jantina anak namun bukan masa terdekat. Dari dahulu, selagi perkara itu tidak pasti, kami tidak akan berkongsi.
“Tetapi mungkin kerana tadi (kelmarin), perasaan seorang penyanyi yang teruja selepas dua tahun tidak membuat persembahan di hadapan peminat, maka ‘terkeluarlah’ segala perkara itu.
“Kerana terlampau teruja, itulah terjadinya pendedahan jantina anak saya ini,” katanya ketika ditemu ramah.
Bagaimanapun, isteri tercintanya yang juga seorang penyanyi, Ernie Zakri tidak menyalahkan suaminya sebaliknya memahami rasa keterujaan itu.
“Sejujurnya, saya tidaklah rasa terkilan hanya sebab dia mengumumkan jantina anak lebih awal. Bagi saya, ini juga kerana mungkin malam ini istimewa.
“Bagaimanapun, kami pun tiada lagi perancangan untuk mengumumkan tarikh rasmi jantina anak,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu popular Gundah ini turut mengaku amat sukar untuk berjauhan bersama suami kesayangannya, pada waktu ini.
“Sejujurnya, tidak dinafikan sepanjang saya mengandung ini tidak boleh sangat berjauhan dengan Syamel. Tetapi, Alhamdulillah banyak kerja kami bersama. Jadi saya rasa lega juga.
“Saya ada juga bertanya kepada ibu hamil yang lain, mereka pun merasa perkara yang sama tidak boleh berjauhan dengan suami,” tuturnya ketika ditemui selepas konsert itu berakhir.