SHAH ALAM: Seorang eksekutif sebuah pasar raya akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini esok bagi menghadapi 44 pertuduhan rasuah termasuk 22 pertuduhan pilihan membabitkan nilai keseluruhan RM38,360.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dalam satu makluman memberitahu, eksekutif berkenaan akan dituduh kerana didakwa meminta dan menerima wang rasuah daripada syarikat kontraktor pada 2019 hingga 2020.
Wang tersebut dipercayai sebagai dorongan membantu kontraktor berkenaan mendapatkan kontrak kerja pembersihan di pasar raya terbabit.
Oleh demikian, eksekutif terbabit akan berhadapan 22 pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau kedua-duanya sekali.
Bagi 22 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 25(1) akta sama tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.










