Dua beranak antara 67 penagih dadah ditahan polis - Utusan Malaysia

Dua beranak antara 67 penagih dadah ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 67 penagih dadah diberkas pihak berkuasa dalam Operasi Jihad di sekitar daerah ini, malam tadi.

Turut diberkas menerusi operasi berkenaan adalah dua beranak masing-masing berusia 38 dan 17 tahun selepas rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini diserbu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, serbuan kira-kira pukul 11 malam itu dijalankan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Kata beliau, sebanyak 163 kekuatan membabitkan pegawai dan anggota semua agensi terlibat.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 45 individu termasuk dua wanita berusia 25 hingga 50 tahun ditahan polis.

“Polis merampas dadah jenis heroin anggaran berat 1.70 gram, syabu (1.20 gram) dan pil yaba (2.75 gram),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, Mohamad Fakhrudin berkata, sebanyak 22 individu termasuk tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun lagi diberkas AADK.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) akta sama dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

“Polis tidak berkompromi dengan masalah dadah dan operasi akan dilaksanakan secara berterusan bagi mencapai matlamat daerah Petaling Jaya bersih dadah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN