PETALING JAYA: Polis mengesan dua lelaki yang didakwa merogol seorang wanita menerusi satu gambar yang tular di media sosial sejak semalam.
Ini susulan laporan polis dibuat mangsa kira-kira pukul 8.06 malam semalam yang mendakwa dirogol dua lelaki tidak dikenali.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 17 November kira-kira pukul 9 malam apabila mangsa serta rakan-rakan sedang berhibur di sebuah kelab di ibu negara.
Katanya, semasa kejadian, mangsa dikatakan mabuk dan dipercayai telah diberikan minuman yang disyaki mengandungi dadah.
“Mangsa kemudiannya dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah hotel di ibu kota bersama seorang lagi rakan mangsa.
“Mangsa menyedari dirinya dirogol selepas dimaklumkan oleh rakan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Kamaruzaman, susulan itu, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan diklasifikasikan sebagai kes rogol.
Jelas beliau, pihak JSJ Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap laporan ini.
“Pihak polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih dan boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran orang awam.
“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan kejadian ini, orang ramai boleh menyalurkannya maklumat dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
Semalam, Utusan Online melaporkan tular gambar yang memaparkan wajah pelaku berserta kapsyen yang memohon netizen menjejaki lelaki tersebut selepas mendakwa rakannya diperkosa dan kejadian ini dipercayai berlaku di sebuah kelab di ibu negara.
Pengguna Twitter, ‘nurrulnatashaa’ meluahkan rasa kesalnya apabila teman baiknya dianiaya seperti itu dan memohon warganet untuk membantu menjejaki dua lelaki tersebut bagi memudahkan kerja polis.
“Kawan I kena rogol dengan dua lelaki ni, anyone tahu pasal lelaki ni tolong la bagi info. Benda tak cantik la bro nak perempuan kau sumbat dadah macam ni, tolong eh sesiapa yang tahu info binatang ni, tolong inform,” dakwanya.










