SHAH ALAM: Sambutan Deepavali tahun ini diharap kembali meriah terutama di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam di sini, yang pernah menjadi tumpuan masyarakat Hindu dari Petaling dan Klang untuk bersembahyang pada hari pertama perayaan itu dahulu.
Harapan itu susulan sekatan pergerakan tidak lagi dikenakan dan negeri ini juga sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan Hari Deepavali disambut dengan meriah esok walaupun prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 perlu dipatuhi.
Setiausaha Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, N. Sundramoorthi berharap, kuilnya kembali meriah dihadiri ribuan penganut Hindu bersembahyang di situ esok.
“Rekod yang dicatatkan pihak saya mendapati dianggarkan 5,000 orang yang bersembahyang di sini setiap kali Deepavali.
“Jadi harap sangat ramai yang bersembahyang di kuil ini, walaupun saya jangka jumlah pengunjung mencecah seperti sebelum pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui di kuil tersebut di Seksyen 7, di sini.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di situ mendapati, pihak pengurusan sedang melakukan persiapan akhir bagi menyambut pengunjung pada perayaan Deepavali.
Selain menghias kuil, mereka turut memasang pita pelekat pada lantai sebagai panduan penjarakkan sosial, seperti yang ditetapkan kerajaan. – UTUSAN ONLINE










