DAP boleh pilih tiga daripada sembilan kerusi ditandingi Bersatu - Utusan Malaysia

DAP boleh pilih tiga daripada sembilan kerusi ditandingi Bersatu

AMIRUDIN Shari bergambar selepas menyerahkan plakat cek RM5,000 kepada wakil mahasiswa dari 17 universiti di seluruh Selangor dalam Program Dialog Menteri Besar Bersama Pimpinan Mahasiswa di IPT Negeri Selangor di Klang, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Terdapat sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Selangor yang ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum (PRU) sebelum ini yang boleh dibincangkan untuk memenuhi permintaan DAP untuk menambah kerusi dalam PRU akan datang.

Justeru, tiada keperluan kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan kerusi masing-masing bagi memenuhi permintaan DAP untuk bertanding dua lagi kerusi DUN dan satu Parlimen.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang memberitahu terdapat perbincangan awal dilakukan dalam pimpinan PH peringkat negeri, namun belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Rundingan awal dilakukan tetapi separuh masak lagi untuk diumumkan, saya percaya kita boleh mencapai konsensus untuk memastikan PH ataupun gabungan yang akan bertanding dalam pilihan raya akan datang mendapat majoriti yang selesa dan mampu untuk mengekalkan legasi kepimpinan yang kita dapat sejak 2008.

“Kita juga ada senarai kerusi hendak minta cuma tak dimaklumkan lagi. Tak ada masalah, itu harapan masing-masing, tetapi asasnya adalah konsensus perbincangan yang kita ingin kemukakan dalam garis panduan dan tradisi yang kita ingin teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Dialog Menteri Besar Selangor Bersama Pimpinan Mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi Selangor, di sini hari ini.

Dalam program tersebut sebanyak RM85,000 peruntukan diberikan kepada 17 universiti awam dan swasta yang hadir dan setiap wakil mahasiswa menerima RM5,000 sebagai sokongan untuk melaksanakan program di universiti.

Antara mahasiswa yang hadir adalah dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebelum ini, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dilaporkan meminta tiga kerusi tambahan bagi partinya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Beliau dilihat yakin walaupun partinya berhadapan tohmahan terhadap 22 tahun pemerintahan bersama PH terutama melibatkan pelaksanaan manifesto selepas memenangi PRU-14 lalu.

Bagaimanapun, parti itu tidak menyatakan kawasan-kawasan baharu yang mahu ditandinginya nanti.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan tiada bantahan wujud dalam komponen PH mengenai permintaan itu dan menegaskan keutamaan parti adalah strategi dan gabungan yang boleh menang.

“Ia bukan masalah bantahan sebab ia belum diputuskan lagi, jadi kita harus meneruskan perbincangan, dinamik dan juga keutamaan itu harus berikan perhatian.

“Jadi, asas itu kena dijadikan platform di samping ingin melaksanakan tugas dan melanjutkan legasi kepimpinan PH sebelum ini,” jelasnya.

Dalam masa sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu turut menjelaskan pendiriannya dalam PKR dan menegaskan masih bersama parti itu walaupun terdapat dakwaan mengatakan beliau akan menyertai bekas pemimpin PKR dalam Parti Bangsa Malaysia yang baharu ditubuhkan.

“Saya tak terfikir untuk tinggalkan PKR pada bila-bila pun. Saya rasa wadah terbaik untuk perjuangan saya adalah PKR. Selamat maju jayalah kepada parti-parti ini supaya dapat bertahan dan dapat kekal,” sindirnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya