Dakwaan melampau dalam iklan adalah haram - Mufti

Dakwaan melampau dalam iklan adalah haram – Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kaedah dakwaan melampau atau overclaim dalam pemasaran adalah haram kerana ia mempunyai unsur menipu dan memakan harta orang lain dengan cara batil.

Itu penjelasan diberikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berhubung hukum kaedah dakwaan melampau khususnya dalam mempromosikan dan mengiklankan produk atau barangan.

Menurut PMWP, penjual mestilah bersikap amanah, jujur dan menerapkan nilai-nilai yang dianjurkan Islam ketika melakukan aktiviti pengiklanan.

“Kaedah pengiklanan dengan cara dakwaan melampau dalam kamus Merriam-Webster merujuk kepada perbuatan untuk membuat dakwaan palsu atau berlebih-lebihan tentang sesuatu produk.

“Oleh itu, perbuatan ini adalah sama seperti menipu yang dilarang dalam Islam,” katanya menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-646: Hukum melakukan dakwaan melampau dalam pemasaran, dikeluarkan hari ini.

Katanya, kaedah pemasaran melampau ini juga dilihat bertujuan memanipulasi seseorang supaya tertarik dengan tawaran dan dakwaan penjual itu dan seterusnya membeli produk tersebut.

Namun, katanya, apabila produk tersebut digunakan, kesannya tidak sama seperti yang didakwa.

Jelas PMWP lagi, perbuatan sebegini adalah dilarang dalam Islam kerana ia seolah-olah memakan harta orang lain dengan cara-cara menipu.

“Seorang penjual perlulah bersifat jujur dan amanah ketika melakukan aktiviti pengiklanan produk mereka.

“Penjual yang jujur bukan sahaja mendapat kelebihan duniawi, dia akan turut mendapat kelebihan di akhirat kelak,” katanya.

Katanya, perbuatan dakwaan melampau atau overclaim boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Malah, katanya, individu mengeluarkan iklan palsu mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan dan sebagainya boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun.

“Manakala pertubuhan boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN