Pemain Brazil senjata baharu Selangor

Pemain Brazil senjata baharu Selangor

Chrigor Moraes menjadi taruhan baharu di jentera serangan Selangor FC bagi menghadapi saingan musim 2025-2026. - IHSAN SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain kelahiran Brazil, Chrigor Moraes menjadi taruhan baharu di jentera serangan Selangor FC bagi menghadapi saingan musim 2025-2026.

Selain akan menajamkan jentera serangan Gergasi Merah di Liga Malaysia (Liga M), Moraes juga akan memainkan peranan besar di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN.

Moraes berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama Gergasi Merah selain mengakui sudah membuat ‘kerja rumah’ mengenai kelab itu sebelum terbang ke Malaysia.

“Secara jujurnya saya amat teruja untuk memulakan fasa baharu ini. Beraksi di luar negara pastinya datang dengan cabaran yang tinggi, tetapi saya datang dengan hati yang terbuka dan tekad untuk berusaha keras bagi menyesuaikan diri dengan secepat mungkin.

“Berdasarkan pengalaman saya di Thailand, cara itu membantu saya selesa dengan budaya pasukan dengan cepat. Pada masa yang sama, saya juga membuat kaji selidik berkenaan kelab ini dengan menonton perlawanan, mengikuti perjalanan pasukan di media sosial dan cuba memahami corak permainan yang digunakan.

“Saya sedar masih banyak yang perlu saya pelajari, terutamanya dari segi bahasa, tetapi saya komited dengan apa yang mendatang. Saya akan bekerja keras untuk menjaringkan gol dan membantu pasukan bagi mencapai sasaran musim ini,” katanya.

Moraes memulakan kerjaya profesionalnya bersama Brasil de Pelotas untuk dua perlawanan di Serie B pada 2018 sebelum kariernya terus berkembang bersama Red Bull Brasil.

Dia kemudian diserap ke pasukan utama Red Bull Bragantino dan mencatat dua gol dalam sembilan penampilan di Serie A Brazil sebelum dipinjamkan ke beberapa kelab seperti America Mineiro, Novorizontino, Ituano, dan Inter de Limeira bagi mematangkan corak permainnya.

Rekod terbaik Chrigor di Brazil adalah pada tahun 2023 apabila dia menyertai Portuguesa dan mengumpul tujuh gol dalam 12 perlawanan Copa Paulista, sekali gus membuka jalan untuknya melebarkan sayap untuk julung kalinya ke luar negara.

Moraes menandatangani kontrak bersama Buriram United FC semasa pertengahan musim 2024 yang mana dia tampil cemerlang dalam Liga Thai dengan menyumbang tujuh gol dalam 14 perlawanan termasuk dalam aksi dalam ACL Elite dan Keuaraan Kelab ASEAN.

Untuk rekod, Moraes menjadi pemain import kedua yang menyertai Selangor selepas bekas kapten Muangthong United, Picha Autra diumumkan menyertai Gergasi Merah sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN