Cuepacs cadang terus berunding Sistem Saraan Malaysia

Cuepacs cadang terus berunding Sistem Saraan Malaysia

ADNAN Mat (berdiri, empat dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian penjawat awam pada Majlis Penutup Kursus Kepemimpinan Dalam Kesatuan Sekerja dan Penyampaian Sijil di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya terus membuka pintu rundingan untuk melaksanakan Sistem Saraan Malaysia yang baharu agar ia dapat dilaksanakan secepat mungkin. 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ini kerana sistem sedia ada yang hampir berusia 20 tahun itu sudah tidak lagi relevan dengan tangga gaji minimum yang rendah iaitu RM1,200 sebulan. 

Katanya, pihaknya mencadangkan gaji minimum ditetapkan pada RM1,800 sebulan memandangkan kos kehidupan ketika ini semakin meningkat. 

“Justeru, sistem saraan yang baharu perlu diwujudkan untuk tampung keperluan penjawat awam supaya dapat tangga gaji yang selesa setimpal dengan perbelanjaan harian. Gaji minimum perlu berubah setelah harga barangan meningkat berkali-kali.

“Cadangan gaji minimum RM1,800 ini bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyasarkan negara berpendapatan tinggi dan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Sekiranya kerajaan tidak ubah sistem ini, maka sasaran ini tak mungkin akan dapat dikecapi dengan gaji penjawat awam ketika ini,” katanya selepas Majlis Penutup Kursus Kepemimpinan Dalam Kesatuan Sekerja dan Penyampaian Sijil, di sini hari ini.

Adnan berkata, gaji permulaan sektor kerajaan RM1,200 sebulan pada masa ini tanpa mengambil kira lain-lain elaun jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai aduan berkaitan penjawat awam yang tidak terima vaksin, beliau berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima aduan berhubung kakitangan awam yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, penjawat awam harus divaksin dalam memberi keselesaan terhadap persekitaran tempat kerja yang selamat dan selesa.

“Kami bersetuju dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mengambil tindakan terhadap kakitangan yang tidak mahu mengambil suntikan.

“Ketua JPA masing-masing disarankan memanggil mereka yang berkaitan. Jika didapati tidak boleh divaksin, dapatkan surat pengesahan dari pengamal perubatan, namun jika enggan tanpa alasan munasabah, adakan perjumpaan seperti sesi kaunseling lanjutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya