GEORGETOWN: Cubaan tiga lelaki warga tempatan menyeludup 19.2 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM690,635 ke negara jiran menggunakan jalan laut gagal apabila mereka ditahan polis di sebuah bilik hotel di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang dekat sini, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 34 hingga 41 tahun itu yang dipercayai ahli rangkaian sindiket dadah antarabangsa ditahan dalam serbuan yang dijalankan pukul 9.15 malam.
Katanya, menerusi serbuan itu polis menemukan 18 bungkusan plastik berwarna hijau keemasan berisi ketulan hablur kristal iaitu dadah syabu seberat 19.2 kilogram bernilai RM690,635.
“Selain itu, polis turut merampas dua pucuk pistol bersama satu kelopak mengandungi 16 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm) dan satu kelopak yang terdapat tiga butir peluru bersaiz 9mm serta lima buah telefon bimbit pelbagai jenis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Rahimi, siasatan awal polis mendapati suspek berkenaan menjadikan bilik hotel tersebut sebagai transit sementara sebelum menggunakan jalan laut untuk menghantar dadah ke negara jiran.
“Mereka dipercayai akan menggunakan bot ke perairan antarabangsa untuk menghantar bekalan syabu kepada ahli sindiket yang menunggu di situ.
“Polis kini sedang mengesan beberapa lagi ahli termasuk dalang utama sindiket tersebut yang dipercayai aktif sejak beberapa bulan lepas,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung dua pucuk pistol dan peluru yang dirampas bersama tiga lelaki itu.
“Kita sedang menyiasat sama ada senjata itu digunakan untuk kegiatan jenayah atau untuk mempertahankan diri ketika mengedarkan dadah.
“Ujian air kencing mendapati tiga lelaki yang bekerja sendiri itu positif dadah dan mempunyai empat hingga 10 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya.
Tambahnya, kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.